Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF
PILIHAN Raya Kecil Pengkalan Kubur N01 muncul tika pelbagai kemelut melanda negara. Biarpun kocakan dalam Pakatan Rakyat dilihat begitu ketara, namun ia tidak mungkin memadamkan kemelut yang dirasai rakyat di bawah pimpinan Umno dan Barisan Nasional.
Tatkala rakyat masih tertanya-tanya apa jadi pada MH370, kedukaan kita bertambah dengan tragedi MH17. Biarpun MH17 kita mampu tampil sebagai keluarga besar mampu menangani situasi cukup getir, luka kerana gagal mengesan “air turn back” MH370 melalui radar di Gong Kedak amat sukar untuk disembuh.
Masa berlalu, hari silih berganti, syarikat penerbangan kebanggaan negara, Malaysia Airline (MAS) terus dicanang terpaksa terima hakikat kerugian bertimpa-timpa. 6,000 pekerja mesti diberhentikan dengan seluruh rakyat terpaksa menanggung sejumlah RM6 Bilion yang mudah disebut subsidi melalui suntikan oleh kerajaan. Semuanya itu di bawah aturan dan percaturan kerajaan yang diterajui Umno dan Barisan Nasional.
Jangan pula kita lupa pada pasangan panda yang telah dan akan memakan jutaan ringgit. Beberapa tahun terdahulu, seorang pensyarah dari universiti tempatan ada beri ingatan. Malaysia tidak harus sekali-kali membawa pasangan panda dari China ke sini.
“Apa perlunya pasangan yang habitatnya hanya di Tanah Besar China dibawa ke mari? Kos yang amat tinggi perlu ditanggung oleh Malaysia jika berbuat demikian”. Ramai yang mendengar ungkapan pensyarah tersebut pada ketika itu berfikir tentulah pasangan panda tersebut tidak dibawa ke sini kerana tiada rasional berbuat demikian.
Tak semena-mena kerajaan mengumumkan projek kemasukan panda China ke Malaysia atas alasan 40 tahun hubungan Malaysia-China. Meskipun ia tidak disangka sebagaimana dinyatakan di atas, ia tidak pula mengejutkan kerana itulah gaya dan lenggok kerajaan Umno dan Barisan Nasional.
Sekian banyak NGO mewakili rakyat bawah termasuklah daripada rakyat termiskin, OKU dan sebagainya menuntut pembaharuan dalam membangunkan rakyat semuanya dilayan sekadarnya kerana kekangan bajet. Sungguh sukar diterima akal, antara rakyat dan panda, rupa-rupanya panda lebih diutama.
Datang pula kisah Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau lebih mudah disebut GST. Rakyat mana yang tidak suka dan senang hati kalau kerajaannya bersungguh-sungguh memajukan negara untuk kesejahteraan semua? Soalnya apakah kesungguhan itu untuk semua atau untuk mereka yang tertentu mendapat laba?
Cukup kita renung dengan mata hati dan akal yang waras. Apa yang tidak ada di Malaysia pada sumber bumi dan alamnya? Kita ada minyak di dasar laut, pelbagai bijih di perut bumi, pelbagai khazanah hutan yang amat berharga, tanah subur untuk ditanami apa sahaja dan pelbagai kekayaan kurniaan Ilahi. Rupa-rupanya itu semua tidak menjana kekayaan untuk negara di mata kerajaan Umno dan Barisan Nasional.
Kenapa saya sebut begitu? Antara alasan penggubalan undang-undang GST termasuklah bertujuan mempertingkatkan pendapatan dan sumber kewangan kerajaan. Kerajaan apakah yang sedang kita bernaung pada hari ini?
Kerajaan sering melaung selogan janji ditepati. Apabila ada menyebut janji dicapati ada pula yang marah dan naik angin. Apa janji kerajaan ke arah mentransformasikan negara?
Pemansuhan undang-undang tinggalan zaman penjajah dan komunis katanya akan diusul. Kita terima ISA telah pun tiada. Namun apa cerita pada undang-undang yang lain? Sehari dua ini Akta Hasutan pula terus muncul diperguna termasuklah terhadap para ilmuwan.
Kita boleh setuju bukan ramai puluhan, ratusan atau ribuan rakyat yang didakwa di bawah Akta Hasutan ini. Namun demikian ia telah cukup untuk menghalang seluruh rakyat meneroka pelbagai pendapat ke arah transformasi minda yang dipalu oleh kerajaan ke setiap pelusuk negara.
Sukar untuk dirasionalkan bagaimana seorang pensyarah undang-undang yang menyatakan pandangannya berasaskan kepada pemakaian undang-undang dan realiti dituduh menghasut. Tidak kurang juga bagaimana sukar untuk diterima apabila seorang yang telah disiasat beberapa tahun lalu hanya didakwa baru-baru ini sebagaimana berlaku kepada anak muda Wan Ji.
Nyata, negara terus kecoh di bawah pemerintahan yang ada. Jangan sekali-kali kita pandang enteng pada apa yang berlaku dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Harus diingat, kebocoran soalan UPSR bukan cerita baru.
Sistem pendidikan yang telah diindustrikan telah meletakkan sesiapa sahaja di dalamnya mementingkan kecemerlangan atas kertas. Bermula daripada pendidikan paling asas hinggalah peringkat tertinggi, pendidikan kita telah dijadikan tempat menjana keuntungan.
Justeru, apa nak dihairankan dengan kebocoran soalan yang berlaku? Meskipun ada dakwaan dan siasatan terhadap warga Lembaga Peperiksaan, ia sebenarnya lebih dilihat sebagai melindungi kelemahan yang ada.
Sekurang-kurangnya inilah senario semasa di kala proses Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubur N01 berlangsung. Mesej kepincangan yang berlaku mahu tidak mahu mesti disampaikan kepada setiap rakyat yang layak untuk membuat pilihan.
Kemenangan kepada calon Parti Islam Semalaysia (PAS) bukan bermakna tumbangnya Umno pada malam keputusan diumumkan. Ia sebagai petunjuk kepada seluruh negara bahawa apa yang sedang berlaku amat tidak disenangi oleh rakyat jelata. Perubahan mesti diikhtiarkan tanpa jemu agar kesejahteraan sebenar mampu dijelmakan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan