Susulan bencana itu sebanyak 14 penuntut lelaki dan 63 penuntut perempuan yang tinggal di sekitar universiti itu terpaksa dipindahkan bermula petang Isnin lalu atas faktor keselamatan.
Kesemua penuntut terbabit menyewa di beberapa kawasan yang dinaiki air termasuklah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak, Taman Uda Tok Jembal, Kampung Gong Pak Jin, Taman Desa Seri Iman, Taman Desa Tanjung Damai, Wakaf Tengah dan kawasan perumahan Gong Badak 1 dan 4.
Bagaimanapun dua daripada penuntut perempuan itu membuat keputusan untuk tidak berpindah kerana rumah yang mereka diami belum dinaiki air, enam lagi memilih untuk tinggal bersama saudara mereka manakala selebihnya ditempatkan dalam kampus universiti.
Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr. Yahaya Ibrahim berkata bagi melancarkan urusan perpindahan dan perkara yang berkaitan, pihak universiti telah membatalkan semua aktiviti yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran untuk tempoh dua hari.
"UniSZA memang setiap tahun dinaiki air setiap kali tiap musim tengkujuh dan banjir pada kali ini agak serius sehingga sebahagian kawasan universiti ini turut dinaiki air.
"Namun UniSZA telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi bencana ini. Kita akan terus buka bilik gerakan sepanjang musim monsun ini manakala pusat perubatan UniSZA juga akan beroperasi selama 24 jam untuk kemudahan pelajar mendapatkan rawatan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa penuntut supaya tidak terlalu khuatir dengan perkembangan semasa itu.
"Paras air yang naik pun sebenarnya tak membimbangkan. Sekadar tenggelam satu atau dua kaki sahaja, masalah banjir ini berlaku di luar kampus sahaja iaitu di rumah-rumah yang disewa pelajar ini, jadi saya harap agar mereka tidak terlalu risau," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan