Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Dalam
politik soal tuah atau nasib baik, selain faktor kepintaran berstrategi
dan keramahan, adalah faktor penting dalam menentukan kejayaan seseorang
itu meniti anak tangga kuasa.
Dalam mikroskop siasah hari ini, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
nampaknya seorang politikus yang besar tuahnya. Walaupun sering
“dijeling” oleh pesaing dalam partinya sendiri, beliau bangkit untuk
menjadi Menteri Besar Selangor.
Ketika pimpinan parti pasrah pada perhitungan politik Ketua Umum
partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu hanya isterinya diangkat
mengisi kerusi Menteri Besar, Azmin yang kurang digemari
pemimpin-pemimpin kanan partidiamanahkan Sultan Selangor menduduki
kerusi berkenaan.
Kalangan ahli parti yang “kurang mesra” dengan Azmin “meneguk air liur”
dan menahan rasa cemburu apabila Azmin mengangkat sumpah menggalas
jawatan berkenaan di hadapan Sultan Sharafudin Idris Shah 23 September
lalu.
Berikutan itu tuahnya makin terserlah. Isu-isu politik yang agak rumit
menyergah bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tiba-tiba
“jadi mudah” diselesaikan oleh Azmin.
Paling ketara isu pengurusan air Selangor. Meskipun isu berkenaan
menjadi pemangkin untuk menggerakkan pimpinan PKR memecat Khalid dari
menjadi ahli parti itu, Azmin segera “menyelesaikan” isu itu dengan
menelusuri formulayang sudahpun diatur Khalid.
Apa yang Azmin perlu lakukan hanya menyebarkanpersepsi bahawa beliau
sudah meneliti isu dan menayangkan gambaran bahawa dalam menyetujui
langkah Khalid bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, beliau bersikap
tegas.
Walhal sebenarnya Azmin tidak perlu menghabiskan banyak masa dan tenaga
untuk merombak semula kaedah pelan menyelesaikan masalah bekalan air
bersih untuk Selangor dan Lembah Kelang. Khalid telah membantunya.
Dalam teater politik, jika pandai memainkan watak seorang yang berani
dan berprinsip menyelesaikan isu rakyat akan mudah memancing
kepercayaan, tidak kira idea dan kaedah penyelesaian itu bersumber
daripada siapa.
Azmin cekap menyambar perwatakan itu. Denganmempamerkan sikap sinis
berhubung butir terperinci perjanjian air dengan Putrajaya, Azmin
mendepang dada betapa beliau berani berdepan kerajaan persekutuan.
Begitu juga dengan isu kontroversi pemulangan bible berbahasa Melayu
dan Iban. Sumber istana Selangor mendedahkan bahawa penyelesaian isu
yang berlarutan hampir setahun itu adalah inisiatif dan budi bicara
baginda Sultan.
Bagaimanapun dengan segera menyebarkan gambar melalui facebook dan
twitter berhubung majlis penyerahan bible kepada wakil gereja Sarawak
yang disaksikan Sultan, umum dapat menyaksikan Azmin Ali turut berada
dalam jemaah “berdamai” itu.
Bertubi-tubi ucapan tahniah dan pujian dihimpunkan untuk Azmin daripada
rakyat pelbagai kaum dan agama kerana berjaya menyelesaikan isu
sensitif yang menjadi “duri dalam daging “ kerjaya Khalid Ibrahim
sebelum ini.
Hingga kini tuah Azmin nampaknya masih benderang. Tiba-tiba timbul pula
isu pampasan yang dikeluarkan Khalid kepada pegawai-pegawai rejimnya
hingga mencecah RM 2.6 juta.
Memandangkan jumlah jutaan ringgit itu diagihkan kepada segelintir
sahaja pegawai kepercayaan Khalid dan cara keputusan itu dibuat
menimbulkan syak, maka desakan perkara itu disiasat kedengaran lantang.
Kini terpulang pada kebijaksanaan Azmin berpolitikmenyambar peluang yang terhidang itu.
Menurut laporan jumlah pampasan yang dibayar ituadalah berdasarkan
kepada formula 30 peratusdaripada jumlah gaji sepanjang perkhidmatan
pegawai berkenaan.
Khalid juga dikatakan membayar pampasan dalam bentuk gantirugi notis
tiga bulan gaji kepada pegawai-pegawai yang berjasa kepadanya“mungkin
kerana mereka terpaksa kehilangan pekerjaan serta merta”.
Angka berkenaan amat menyentap hati dan membisikkan rasa iri kakitangan
kerajaan negeri Selangor pelbagai peringkat dan juga ahli-ahli politik
baik di dalam PKR, Pakatan Rakyat dan rakyat jelata amnya.
Faekah Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif MBImendapat pampasan sebanyak RM
585,000. Ini ditokok dengan saguhati ganti notis 3 bulan gaji berjumlah
RM114,000 yang menjadikan jumlah habuannya RM 699,000.
Sehubungan itu Rohani Dato' Talib, Ketua Pegawai Operasi MBI menerima
pampasan RM 468,000 dan ditokok dengan gantirugi notis tiga bulan gaji
RM 72,000, menjadikan perolehannya,RM 540,000.
Sementara Arfa'eza Abd Aziz, Setiausaha AkhbarKhalid menerima pampasan
RM358,000 tidak termasuk saguhati notis tiga bulan berjumlahRM55,000
menokok habuannya kepada RM413,000.
Setiausaha Politik Khalid, Mustafa Talib, pula menerima pampasan
perkhidmatan RM234,000, imbuhan notis berhenti tiga bulan
RM30,000,menjadikan jumlah yang diterimanya RM264,000.
Yang menariknya, Rahimah Kamaruddin, Pegawai Koordinasi yang sudah berkhidmat 67 bulan dengan Khalid dibayar RM254,100.
Dr Sulaiman Masri, Pegawai Khas Komunikasimendapat imbuhan RM180,000 kerana berkhidmat dengan Khalid selama 65 bulan.
Begitu juga dengan Abdul Halim Mohd Yusof,Pengurus Penyelidikan Ekonomi
Khalid yang berkhidmat 50 bulan dibayar pampasan berjumlah
RM180,000.
Pegawai kelapan Khalid yang dibayar pampasan daripada rizab MBI ialah
Pegawai Akhbar, Tuan Nazuri Ismail sebanyak RM114,870. Ini semua
menjadikan jumlah pampasan RM 2,644,970!
Azmin kini boleh bermain dengan masa bila mahu membenam imej politik
Khalid. Di hadapannya ada jabatan Audit Negeri, Selcat, SPRM dan paling
penting rakyat untuk mengadili musuh tradisinya, Khalid Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan