Oleh: Nadia Hanafi
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata
beliau akan menulis surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin
Buang untuk melakukan audit terhadap 1Malaysia Development Berhad
(1MDB).
Katanya, satu surat akan turut dihantar kepada Gabenor Bank Negara,
Tan Sri Zeti Aziz untuk siasatan di bawah akta Anti Pengubahan Wang
Haram.
Naib presiden KEADILAN itu berkata, ia bagi menyiasat dana berjumlah
RM7 bilion yang disimpan secara sulit di bank luar pesisir Kepulauan
Cayman.
“Sekiranya bank negara betul-betul tegas mengenai akta
anti-penggubahan wang haram ini, bank negara sepatutnya mempunyai
pernyataan maklumat mengenai aliran wang ini. Ini bukan jumlah sedikit
tetapi RM7 bilion,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.
Beliau berkata perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menyalin
bulat-bulat jawapan (copy paste) kepada soalan mengenai butiran lanjut
tentang Syarikat yang berkait dengan 1MDB (Bridge Partner).
Najib katanya, memberi jawapan bahawa 1MDB memastikan fi dan
perbelanjaan dinyatakan dengan betul di dalam penyata kewangan yang
telah diaudit. Manakala maklumat lain yang dinyatakan dalam penyata
kewangan adalah milik persendirian (proprietry) syarikat.
“Ini satu penghinaan yang besar kepada dewan apabila PM langsung tidak mahu menjawab dan “copy paste” jawapan,” katanya.
Rafizi juga berkata sekiranya bank negara tidak mahu menyiasat
perkara ini, beliau akan meminta bantuan kerajaan dari luar untuk
menyiasat skandal berkenaan.
“Saya akan tunggu jawapan rasmi dengan Bank Negara Malaysia dahulu.
Kalau kita dapat jawapan “copy paste” begini, kita akan bekerjasama
dengan Singapura, Hong Kong dan Switzerland,” ujarnya.
Katanya, Najib tidak akan memberi sebarang jawapan kepada semua
soalannya mengenai 1MDB dan itu sangat membimbangkan kerana rakyat tidak
mengetahui status wang tersebut.
“Fokus saya sekarang ialah berapa banyak duit (1MDB) yang tinggal, di
mana wang ini dan adakah pelaburan itu berkaitan dengan perdana
menteri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan