Oleh: Amirul Azhan
KUALA LUMPUR: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah perlu didedahkan kerana turut melibatkan dua tokoh penting negara, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Beliau berkata, beberapa perkara perlu diketahui hasil laporan tersebut yang mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, laporan RCI mengenai projek IC yang diberikan kepada pendatang asing itu bukan sahaja penting untuk dibentangkan di Parlimen, bahkan diketahui rakyat Malaysia.
“Rakyat mempunyai hak untuk tahu kandungan laporan RCI tentang apa yang telah dibincangkan sehingga melibatkan Anwar Ibrahim dan Mahathir sepanjang prosiding dilakukan sebelum ini.
“Segala pembuktian dan kesimpulan daripada laporan RCI itu bakal menunjukkan betapa kukuhnya dakwaan bahawa adanya kolusi daripada pelbagai jabatan dan kementerian untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya,” kata Nurul Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan laporan RCI berkenaan di parlimen.
“Semua orang mempunyai hak untuk tahu apa yang telah dilakukan oleh kerajaan sepertimana dalam laporan RCI dan Najib perlu dedahkannya segera” ujarnya.
Selain itu, katanya kes berkaitan pilihan raya umum lalu akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan dengan mengheret kesemua pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke muka pengadilan kerana kegagalan melaksanakan penggunaan dakwat kekal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan