shahbudindotcom
Tidak
saja teguran itu dibuat secara terbuka melalui media atau tulisannya di
blognya, bekas Perdana Menteri itu juga kerap memberi pandangan dan
kritikan melalui orang peseorangan atau kumpulan tertentu yang bertemu
dengannya.
Secara
umumnya, Mahathir tidak berpura-pura dalam tindakannya. Sama ada secara
tertutup atau terbuka, nada dan tahap kritikannya terhadap kepimpinan
Najib tetap sama.
Antara
tegurannya sebelum ini ialah mengenai rasa tidak setujunya dengan
penghapusan ISA, Ordinan Darurat serta janji menghapuskan Akta Hasutan.
Beliau juga mengkritik kepimpinan Najib yang menyebabkan timbulnya
masalah dalam hubungan kaum, pengurusan ekonomi dan kewangan yang tidak
menentu serta sikap lebih banyak berdiam diri apabila timbul sesuatu
masalah.
Selepas itu, beliau juga menegur mengenai hutang 1MDB yang tinggi dan pemberian BR1M yang dianggapnya rasuah kepada rakyat.
Terbaru,
Mahathir juga menegur tentang sikap menteri-menteri yang mengabaikan
dasar pendidikan kebangsaan yang mereka gubal untuk rakyat tetapi
menghantar anak sendiri ke sekolah swasta dan antarabangsa.
Memahami
sikap Mahahir yang tidak mudah mengalah apabila sudah membuat sesuatu
keputusan, adalah dijangka menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 25 hingga 29 November ini, bakal ada lagi teguran dan kritikan akan diluahkannya terhadap Najib.
Malah dua hari sebelum Perhimpunan Agung UMNO iaitu pada 23 November ini,
Mahathir juga dijemput memberi ucaptama dalam Konvensyen Perpaduan
Nasional yang akan diadakan di Pusat Islam, Kuala Lumpur. Ramai yang
menjangka, satu lagi peluru akan disasarkannya pada hari itu.
Tetapi
sebagaimana sikap Najib yang suka berdiam diri, membisu dan senyap
dalam banyak isu, beliau juga mengambil sikap yang sama terhadap semua
teguran serta kritikan oleh Mahathir selama ini.
Najib
bukan saja tidak melayan atau mengendahkan semua teguran itu, malah
tidak juga menunjukkan tanda-tanda mahu berubah. Suatu ketika, ada juga
beberapa menteri dan pemimpin UMNO yang memberi respon terhadap teguran
Mahathir itu, namun sejak kebelakangan ini semuanya tiada lagi. Hanya
Khairy Jamaluddin sesekali menjawab, itu pun kalau kias-kias terkena
dirinya.
Seperti
wujud arahan daripada Najib agar jangan melayan dan mengendahkan lagi
teguran dan kritikan Mahathir itu. Hasilnya, bukan saja Najib tidak
berubah dan kekal dengan stail lama, teguran Mahathir itu juga berlalu
bagai angin lalu atau seperti "mencurah air ke daun keladi" saja.
Jangan-jangan
sudah wujud persepsi dalam fikiran Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO
ketika ini bahawa Mahathir "sudah nyanyuk", "tidak relevan" dan "tak
boleh dipakai lagi pandangannya".
Hakikat
bahawa Mahathir merupakan pemimpin yang banyak berjasa kepada negara
seperti cuba dilupakan. Begitu juga pengalaman dan rekodnya sentiasa
menang melepasi garisan dua pertiga setiap kali pilihanraya, tidak lagi
dipedulikan dan diambilkira.
Lebih
dari itu, sokongan kuat daripada Mahathirlah yang menjadi salah satu
faktor Najib berjaya menjadi Perdana Menteri. Mahathir bukan saja
memberi banyak ruang kepada Najib menimba pengalaman dalam kerajaan,
bahkan juga menyokong kuat agar Najib dipilih sebagai pengganti Pak Lah
yang berjaya ditumbangkan melalui kerja kerasnya.
Untuk
menunjukkan sokongannya kepada Najib, Mahathir kemudian mengunjungi
Najib di kediamannya sehari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana
Menteri sambil menyerahkan borang kemasukannya semula ke dalam UMNO.
Mesej daripada tindakan itu ialah agar rakyat memberi sokongan
sepenuhnya kepada Najib.
Namun
kini, kepimpinan Najib bukan saja mengecewakan Mahathir dan majoriti
rakyat, bahkan layanan Najib kepada Mahathir jauh lebih buruk daripada
apa yang pernah dilakukan oleh Pak Lah.
Jika
ketika era Pak Lah, kritikan dan teguran Mahathir turut mendapat respon
dan tindakbalas, bahkan di suatu ketika Pak Lah juga menjemput Mahathir
bertemu secara empat mata dengannya untuk meluahkan rasa tidak puas
hatinya, Najib sebaliknya tidak memperdulikan langsung dan cuba
melayannya sebagai "orang tua yang tidak berguna".
Najib
mahu mengabai dan mengenepikan sama-sekali teguran dan kritikan
Mahathir itu. Dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, walaupun dalam
suasana UMNO dan negara kritikal, sudah wujud kecenderungan di kalangan
jurucakap setiap negeri untuk memuji, memuja dan menyanjung kepimpinan
Najib.
Isu-isu
berkaitan hutang 1MDB, hutang negara yang meningkat saban tahun, kos
sara hidup, pembaziran, prestasi UMNO, prestasi menteri-menteri dan
seumpamanya terlihat cuba disembunyikan di sebalik mahu mengagungkan
kejayaan menduduki kerusi tetap di PPB, pengerusi ASEAN dan langkah
Najib berunding dengan ketua puak pemisah Ukraine, Aleksander Borodai
dalam isu MH17.
Untuk
itu, bagi menunjukkan keseriusannya menegur dan mengkritik Najib,
Mahathir sewajarnya tidak menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.
Hanya dengan memboikot perhimpunan kali ini mampu menyedarkan Najib dan
lain-lain pemimpin UMNO agar tidak terus berkhayal dalam dunia mereka
sendiri yang sebenarnya makin buruk di pandangan umum.
Jika
Mahathir tidak melakukan sesuatu yang drastik, sampai bila pun teguran
dan kritikannya tidak akan dilayan. Sebagaimana impak keluar UMNO dapat
dirasa ketika memberi tekanan kepada Pak Lah dahulu, tindakan memboikot
Perhimpunan Agung UMNO adalah langkah seterusnya yang wajar, setelah
menarik balik sokongan, untuk segera menyedarkan Najib yang gemar
meletakkan "penyumbat kapas" di kedua-dua belah telinganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan