Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara
Tony Pua berkata tiada sebab untuknya meminta maaf hanya kerana
membangkitkan kesalahan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta dua
anak syarikatnya yang tidak melaporkan penyata kewangan mengikut jadual.
Beliau membalas desakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk
Ahmad Maslan agar beliau meminta maaf kononnya kerana ‘mengelirukan’
Dewan Rakyat berhubung isu itu, selain beberapa kali mengugut membawanya
ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Jika saya memberikan fakta salah, tentu Timbalan Menteri
Kewangan Datuk Chua Tee Yong menyangkal hujah dan membetulkan saya.
Namun, beliau enggan menjawab satu pun soalan saya tentang 1MDB,”
katanya dalam satu kenyataan.
Pua merujuk tindakan Chua 11 November lalu, yang enggan
menjawab soalan dibangkitkannya menyebabkan kekecohan antara Ahli
Parlimen Pakatan dan BN.
Malah katanya, Ahmad Maslan yang mengelirukan Dewan,
sehingga terpaksa meminta maaf kerana ‘kekurangan enam perkataan’ dalam
kenyataannya berhubung surat sokongan kerajaan bagi pinjaman 1MDB.
Pengerusi DAP Selangor itu sebelum ini berulangkali
membangkitkan kegagalan 1MDB, 1MDB Real Estate Sdn Bhd dan 1MDB Energy
(Langat) melaporkan penyata kewangan tahunan dalam sesi perbahasan di
Parlimen dan sidang media.
Kata Pua lagi, beliau konsisten membangkitkan isu itu
kerana tindakan 1MDB dan anak syarikatnya jelas melanggar Akta Syarikat
1965.
Seksyen 169 (1) Akta Syarikat menyatakan sesebuah syarikat
perlu membentangkan penyata kewangan dalam mesyuarat agung tahunannya
sekurang-kurangnya sekali dalam setiap tahun, dan boleh dihukum penjara
lima tahun atau denda RM30,000 mengikut Seksyen 171 (1) akta sama jika
tidak berbuat demikian.
“Semalam, saya sekali lagi meminta penyata kewangan
daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Sekali lagi saya membazir RM15,
kerana maklumat yang ada tidak berubah – tiada akaun difailkan sejak Mac
2012.
“Ini adalah isu penting dan saya akan sekali lagi
membangkitkanya pada perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi Kemeterian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna, berhubung kegagalan
ini.
Pua juga mencabar Ahmad Maslan agar mengulang tuduhan kononnya beliau mengelirukan Parlimen di Dewan Rakyat nanti.
“Mungkin jika beliau mengulangi tuduhan (Pua mengelirukan
Dewan), kita boleh membawanya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan
Parlimen,” katanya lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan