Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Malaysia melonjak ke tangga 48,
dalam senarai 50 negara berbahaya di dunia menurut Indeks Keganasan
Antarabangsa 2014.
Justeru itu Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, semua
pihak perlu melihat kedudukan ini sebagai peringatan untuk menghentikan
ekstremisme, retorik dan politik kebencian yang boleh menggadai masa
depan negara.
Beliau berkata demikian mengulas laporan dikeluarkan Institute of Economics and Peace
18 November lalu, menunjukkan Malaysia di kedudukan ke-48 daripada 162
negara, melonjak 42 tangga daripada kedudukan ke-91 pada 2012.
“Peningkatan ini adalah berita buruk buat negara. Dalam
masa dua tahun, Malaysia termasuk dalam 50 negara di bawah pengawasan
dunia.
“Malaysia sering berbangga sebagai contoh kepada dunia berhubung toleransi dan keharmonian pelbagai kaum dan agama.
“Apa yang telah berlaku? kata Kit Siang dalam satu kenyataan.
Berdasarkan kajian tersebut, sebanyak 13 insiden keganasan
berlaku di Malaysia, yang memperoleh 3.04 mata berbanding 0.415 pada
tahun 2012.
Piawaian indeks menandakan 0 sebagai tiada impak keganasan, dan 10 pula menandakan impak tertinggii.
Walaupun kedudukan itu lebih baik daripada beberapa negara
serantau, seperti Filipina (9) dan Indonesia (31), Malaysia ‘memintas’
negara yang dahulunya dilihat lebih bermasalah; seperti Uganda, Arab
Saudi dan Serbia.
Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, Malaysia
seharusnya ditandakan sebagai sifar, seiring Vietnam, Qatar, Korea
Selatan dan Finland.
“Kedudukan merosot ini perlu menjadi peringatan kepada kita
kerana terjadi pada saat paling genting dalam sejarah negara, di mana
retorik, politik kebencian, ekstremisme serta polarisasi kaum dan agama
dalam keadaan terburuk,” ujar Kit Siang.
Beliau turut menyentuh pengaruh kumpulan militan Islamic
State (IS), yang disertai kira-kira 39 warga Malaysia seperti disahkan
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar di
Parlimen tiga hari lalu.
“Walaupun tiada serangan pengganas dilaporkan di dalam
negara, kita telah melihat sebilangan rakyat mengangkat senjata
menyertai IS dalam konflik di Syria,” katanya lagi.
Pujian Najib kepada IS dan Perhimpunan Agung Umno 2014
Beliau mengingatkan kembali ucapan Najib dalam majlis ulang
tahun ke-20 Umno Cheras 24 Jun lalu, agar ahli Umno mencontohi
‘keberanian’ IS (dahulunya ISIS).
“Walaupun beliau mengecam IS selepas itu, ia tidak dapat memadam sepenuhnya ‘kejutan’ daripada pujian tersebut.
“Inilah sebabnya mengapa semua mata kini terarah kepada Perhimpunan Agung Umno minggu depan.
“Sama ada mereka akan memberikan mesej jelas tentang
kesederhanaan, atau melaungkan retorik kebencian dan ekstremisme,” kata
Kit Siang. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan