Roketkini.com
JOHOR BAHRU: Biro
Pertanian DAP Johor membidas Kerajaan Negeri yang memperuntukkan hanya
RM 1.8 juta daripada jumlah keseluruhan RM29 juta peruntukan pertanian
dalam Belanjawan Negeri kepada golongan nelayan.
Jumlah tersebut ternyata tidak memadai dan menghina hampir
2,000 nelayan di negeri itu, kata ADUN Bekok Lim Eng Guan dan Biro
Pertanian DAP negeri Mahdzir Ibrahim dalam satu kenyataan bersama.
Kata kenyataan itu, kerajaan negeri perlu mengetaui bahawa
sumber pendapatan nelayan terjejas teruk , terutama akibat projek
penambakan laut di Selat Johor.
“Sekitar 5-7 tahun dahulu nelayan tradisional boleh
mendapat hasil mencecah RM1,000 setiap kali ke laut, dan mampu mendapat
kira-kira RM3,000 sebulan, tidak termasuk bantuan dan subsidi antaranya
daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Malah mereka mempunyai masa terluang untuk mencari pendapatan tambahan seperti bertani, sementara menunggu ikan membesar.
“Kini, untuk mendapat hasil RM300 sekali turun ke laut pun
sukar. Kadang-kadang mereka perlu turun ke laut setiap hari untuk
mendapat hasil yang sama (RM3,000 sebulan). Skim bantuan pula semakin
sukar untuk diluluskan,” kata mereka lagi.
Ujarnya, masalah ini disebabkan ikan yang tidak sempat
membesar dengan baik, diburukkan lagi dengan projek penambakan laut
Forest City.
Forest City seluas 4,000 ekar melibatkan pembinaan empat
pulau buatan di perairan Tanjung Kupang bagi kawasan perumahan komersial
dijangka memberi keuntungan hampir RM290 bilion dalam masa 30 tahun
kepada pemaju Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGP).
Salah seorang pengarah CGP ialah Datuk Daing Malik Daing
Rahaman yang merupakan anggota Majlis Penasihat Sultan Johor. Lebih
menyedihkan, projek itu turut melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri –
Kumpulan Prasarana Rakyat Johor.
Tambah kenyataan itu, peruntukan kecil kepada nelayan
menunjukkan kerajaan negeri tiada perancangan jelas untuk membantu
golongan nelayan yang semakin terdesak dengan kenaikan kos sara hidup.
“Kerajaan negeri hanya memberi bantuan ‘one-off’ RM1,000.
Pada masa sama, syarikat pemaju penambakan laut mengaut untung berbilion
ringgi,” kata mereka.
Kenyataan tersebut menegaskan, Pakatan Rakyat Johor
reformasi praktikal dan lestari meliputi aspek pemuliharaan dan
undang-undang perlu dilakukan untuk membaiki industri perikanan bagi
melindungi masa depan nelayan di negeri ini. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan