PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak
terganggu dengan kritikan Tun Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin
terhadap beberapa program kerajaan seperti BR1M.
"Kalau seluruh ahli Umno menyokong dan keadaan ini tidak menimbulkan
krisis dalam parti jadi saya anggap (kritikan ini) sebagai pendapat yang
berbeza dalam dasar-dasar dan tindakan kerajaan," kata Najib.
"Setakat ini nampak ahli Umno tidak mengambil apa-apa sikap yang
menentang pucuk pimpinan dan sebagainya. Mereka menghormati Tun sebagai
pemimpin lama tetapi mereka terus memberi sokongan kepada kepimpinan
sekarang," kata presiden Umno itu.
Najib berkata beliau peka terhadap teguran Mahathir dan Daim mengenai
pemberian BR1M namun berkata 'ramai menyokong daripada tidak menyokong'
program itu.
"Kalau ramai yang kata BR1M tak bagus, saya bersedia nak kaji semula.
Tetapi ke mana saya pergi pun, orang ramai kata mereka mahukan BR1M
malah mahu ditambah jumlahnya," kata Najib kepada Mingguan Malaysia.
"BR1M dibuat bukan kerana mahu beli undi tetapi kerana kita naikkan harga minyak," kata Najib.
Mahathir dan Daim menyifatkan BR1M sebagai program yang tidak realistik
untuk menarik sokongan rakyat dan menggesa ia dikaji semula.
BR1M diperkenalkan pada tahun 2012 dengan bantuan kewangan permulaan RM500 yang menokok kepada RM950 tahun depan.
Bantuan itu memberi manfaat kepada lebih enam juta isi rumah atau 80 peratus daripada keseluruhan isi rumah di negara ini.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata desakan segelintir pihak supaya
di tutup sekolah aliran Cina dan Tamil tidak bersandarkan realiti
politik negara.
"Tidak mungkin sokongan orang Cina (kepada BN) dapat di tambah jika
pada nafas yang sama kita tuntut sekolah Cina ditutup," kata beliau.
"Kalau langkah kita (menutup sekolah Cina) menyebabkan sokongan untuk
Umno dan BN menurun tentu sekali apa yang kita lakukan tidak memberi
faedah kepada kita," kata beliau.
Perwakilan pada Perhimpuan Agong Umno ke-68 yang bermula lusa di jangka berbahas mengenai hala tuju sekolah Cina dan Tamil.
Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang menawarkan persekolahan bahasa Cina dan Tamil yang dibiayai kerajaan.
Bagaimanapun beberapa pihak mempersoalkan sama ada sistem persekolahan Cina dan Tamil membantut integrasi kaum di negara ini.
Najib berkata realiti politik adalah calon Umno di bandar memerlukan sokongan pengundi Cina.
"Pemimpin Umno juga ada yang minta peruntukan untuk sekolah Cina kerana
dalam kawasan dia banyak pengundi Cina, ada kawasan majoriti Melayu
cuma 53 peratus," kata beliau.
"Kalau dia tidak dapat sebahagian daripada 47 pengundi bukan Melayu,
dia tidak mungkin menang, Ini realiti politik yang kita kena terima,"
kata Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan