HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 November 2014

Rekod tunjukkan tiada ahli pernah cabar presiden dalam sejarah PAS - Subky Latif

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Veteran PAS Subky Abdul Latif menegaskan bahawa keputusan berhubung dengan kedudukan presiden adalah hak parti namun sehingga saat ini, parti belum pernah menggunakan hak tersebut untuk mencabar penyandang jawatan.
 
Bekas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan ini menambah parti itu mempunyai mekanisme tersendiri dalam menentukan hala tuju dan juga kepimpinan pada masa depan.
 
Bagaimanapun Subky menegaskan PAS tidak campur tangan pihak lain kerana ia adalah hak parti untuk menentukan kedudukan Abdul Hadi ekoran timbul dakwaan berlaku usaha memujuk tokoh ulama itu berundur.
 
"Setiap orang yang jadi presiden PAS ini ada cabaran, jadi semua itu cabaranlah.
 
"Yang menentukan sama ada beliau nak kekal atau tak kekal adalah PAS sahaja, biarlah PAS tentukan tapi setakat ini kita boleh lihat PAS belum buat apa-apa," katanya kepada Antarapos.
 
Sebelum ini, kedengaran desas-desus mengatakan Abdul Hadi sedang dipujuk rakan-rakannya untuk berundur sebagai Presiden PAS bagi memastikan kelangsungan PAS dalam Pakatan Rakyat selain masalah kesihatan yang dihidapinya.
 
PAS dikatakan boleh memperbaiki hubungan dengan rakan-rakan pakatannya jika Abdul Hadi rela berundur memandangkan hubungan dalam Pakatan tegang ekoran sikap Abdul Hadi yang dikatakan dingin terhadap PKR dan DAP.
 
Untuk rekod PAS pernah dipimpin oleh lapan presiden selain hanya berlaku dua pertandingan bagi merebut jawatan tersebut dengan Ahmad Fuad Hassan dilantik presiden pertama selepas menewaskan pencabarnya Abdullah Fahim dan persaingan kedua berlaku pada 1956 di antara Dr Burhanuddin Mohd Noor dan Dr Zulkifli MUhammad.
 
Tiada ahli pernah cabar presiden dalam sejarah PAS
 
Menurut bekas pengarang berita ini, meskipun PAS berkuasa mutlak namun sejarah parti menyaksikan penyandang jawatan presiden tidak pernah dicabar anggotanya.
 
"Itu suka hati orang PASlah apa mereka nak buat, cuma dalam sejarah PAS dari mula ditubuhkan pertandingan pimpinan (presiden) itu berlaku pada hari ditubuhkan.
 
"Pada hari ditubuhkan itu berlaku pertandingan antara Ahmad Puad dan Abdullah Fahim, itu sekali yang berlaku pada hari tertubuhnya PAS.," katanya.
 
Tambah Subky lagi, selepas era Burhanuddin, jawatan Presiden PAS tidak pernah dicabar mana-mana ahlinya dan perubahan pucuk pimpinan berlaku dengan penyandangnya meninggal dunia atau berundur.
 
Individu lain yang turut memegang jawatan pemimpin nombor satu PAS adalah Dr Abbas Ilias (1953-1956), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Yusof Rawa (1982-1989), Datuk Dr Fadzil Mohd Noor (1989-2002) dan Abdul Hadi (2002-kini)
 
"Kemudian pertandingan kedua apabila Dr Abbas berundur yang mana pada masa itu ada pertandingan antara Dr Burhanuddin dan Dr Zulkifli.
 
"Jadi maknanya kedua-dua orang baru tapi selepas itu tiada pertandingan...kemudian Dr Burhanuddin uzur beberapa tahun, tiada orang yang nak lawan dia.
 
"Datuk Asri jadi pemangku presiden sampai Dr Burhanuddin meninggal dunia pun tiada orang lawan," katanya.
 
Kepimpinan Hadi masih diperlukan PAS
 
Mengulas lanjut, Subky memberitahu bahawa kepimpinan Abdul Hadi masih diperlukan untuk meneruskan kesinambungan parti itu dalam persada politik tanah air walaupun berdepan cabaran dan kritikan hebat dari pelbagai pihak.
 
"Selepas itu Datuk Asri jadi pemimpin asyiklah krisis tapi tiada orang bertanding untuk lawan Datuk Asri, akhirnya beliau berundur dan PAS dipandu oleh Yusof Rawa.
 
"Orang tak buang beliau (Asri), Yusof Rawa tak bertanding lawan beliau...lepas itu Yusof Rawa berundur kerana beliau uzur, tak boleh hadir mesyuarat beliau letak jawatan," katanya.
 
Menurutnya, pelantikan Abdul Hadi sebagai presiden PAS dibuat selepas Dr Fadzil meninggal dunia pada 2002 menambah rekod menyaksikan jawatan itu tidak pernah dicabar mana-mana pimpinan utama yang lain.
 
Malahan ujar beliau lagi, perkara yang berkaitan dengan barisan kepimpinan diserahkan sepenuhnyanya kepada PAS tanpa campur tangan pihak lain.
 
"Barulah Fadzil Noor pangku, selepas itu Fadzil Noor meninggal dunia dan diganti dengan ustaz Hadi.
 
"Jadi belum ada sejarah dalam PAS selama ini, ada ahli PAS cabar presiden bertanding, belum ada dan pada masa akan datang itu saya tak tahulah...wallahualam," katanya.
 
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menerajui Pas menggantikan Fadzil selepas 41 tahun (1964) melibatkan diri dalam arena politik.
 
Beliau pernah menjadi Setiausaha Pas cawangan Rusila dan pernah memegang jawatan Ketua Pemuda PAS Terengganu sebelum menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
 
Pada 1983, Abdul Hadi dilantik menjadi Naib Presiden PAS, dan dipilih menjadi Timbalan Presiden parti itu ketika Dr Fadzil menerajui parti itu.

Tiada ulasan: