MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan bahawa
internet tidak seharusnya dijadikan medium untuk memarakkan ketegangan
kaum dan agama dalam negara pelbagai agama serta budaya seperti
Malaysia.
Sambil menyuarakan kekecewaannya, beliau berkata, pada ketika tertentu,
internet digunakan di sini (di Malaysia) untuk menyebarkan perkara
separa benar, malah pembohongan sekalipun.
"Sebagai contoh, semasa pilihan raya umum lepas, begitu banyak dakwaan
tanpa disokong bukti yang disebarkan dalam talian. Kononnya kerajaan
merancang gangguan elektrik di pusat pengundian untuk menukar peti undi
dan membawa masuk melalui penerbangan 40,000 pengundi dari seluruh
negara untuk mengundi.
"Dakwa sebegini terbukti hanyalah pembohongan yang tidak berasas,
malangnya dakwaan itu diterima bulat-bulat oleh banyak pihak, dan ini
menjejaskan dengan teruk nama baik kami," katanya.
Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum
Antarabangsa Umno, bertemakan: 'Dunia Kesalinghubungan Digital: Cabaran
Dalam Pembinaan Negara', yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno
2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara hari ini.
Memandangkan berita sedemikian boleh tersebar dengan meluas dalam
internet dan tidak lagi dapat dikawal, Najib sehubungan itu mengingatkan
bahawa masyarakat bertanggungjawab untuk memikirkan dengan mendalam
kandungan yang ingin mereka kongsi itu.
"Masyarakat perlu melihat dengan jelas dan memahami bahawa dakwaan yang
dimuatkan dalam internet tidak seharusnya diterima sebagai kebenaran
mutlak.
Dakwaan itu perlu dipersoalkan dan keterangannya perlu dinilai.
"Pendidikan boleh memainkan peranan namun ia sangat sukar. Oleh itu,
tiada penyelesaian yang sempurna bagi perkara ini," katanya.
Beliau selanjutnya berkata kritikan yang munasabah perlu digalakkan,
yang merupakan sebahagian daripada perbahasan demokratik yang sihat
meskipun ada kalanya kandungannya mungkin melangkau batasan, menceroboh
hak bersendiri individu, melanggari undang-undang dalam negara atau
memudaratkan fizikal.
Sambil menggalakkan perbahasan dalam talian yang sopan dan
bertanggungjawab, Najib membangkitkan persoalan besar tentang cara untuk
melaksanakannya selain turut berharap beberapa subtopik dalam forum ini
akan dibincangkan dan mengutarakan cadangan bernas pertimbangan
kerajaan.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan