Belanjawan Selangor bagi tahun 2015 merupakan satu belanjawan defisit dan terbesar sepanjang pemerintahan Pakatan Rakyat di negeri itu.
Ini kerana, anggaran perbelanjaan negeri pada tahun depan berjumlah RM2.42 bilion untuk melaksanakan rancangan pembangunan sementara kutipan hasil negeri itu dianggarkan berjumlah RM1.97 bilion.
Jumlah yang dibentangkan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali juga antara terbanyak berbanding perbelanjaan tahun lalu yang dibentangkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim iaitu sebanyak RM1.85 bilion.
"Kutipan hasil negeri Selangor bagi tahun 2015 dianggarkan meningkat 6.49 peratus kepada RM1.97 bilion berbanding RM1.85 bilion pada tahun 2014.
"Berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan meyakinkan, maka kerajaan negeri mencadangkan agar anggaran perbelanjaan 2015 berjumlah RM2,422,500,000 bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan khususnya program kesejahteraan rakyat," kata Azmin.
Menurut Azmin lagi, daripada jumlah perbelanjaan itu, sebanyak RM1.29 bilion (53.19%) diperuntukan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.13 bilion (46.81 peratus) bagi perbelanjaan pembangunan.
Pada 2014, jumlah belanjawan negeri bagi kegunaan perbelanjaan ialah sebanyak RM1.225 bilion (66.2%) manakala RM625 juta pula digunakan untuk tujuan pembangunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan