HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 November 2014

Rais: Gambar edit PM cermin pemikiran sakit

MALAYSIAKINI


 


Tindakan menyunting gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada rupa sami Hindu mencerminkan keadaan masyarakat yang sakit dalam pemikiran, kata bekas menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan Tan Sri Rais Yatim.

“Masyarakat sudah sakit, sakit dalam pemikiran dan tak ada suatu pertimbangan hidup,” katanya.

Rais justeru berkata, cara terbaik untuk merawat masalah itu adalah dengan kembali kepada “pendidikan budi” menerusi sekolah dan medium lain.

Katanya, semua agama termasuk agama Islam, Hindu, Buddha dan Kristian menegaskan ajaran itu.

Beliau juga berkata, penyuntingan sebegitu harus ditakrif sebagai jenayah kepada masyarakat.

“Lebih-lebih lagi jenayah fitnah ini mungkin harus diambil tindakan oleh Najib (atas). Tetapi saya yakin, beliau tidak akan ambil tindakan sebaliknya membenarkan masyarakat menghakiminya.

“Tapi untuk jangka panjang, kita mesti mengasuh masyarakat kita supaya menghormati orang lain,” kata Rais kepada pemberita selepas menghadiri satu forum anjuran Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Undang-undang terkebelakang

Rais berkata, setakat ini tidak ada banyak asas membolehkan mangsa mengambil tindakan dalam kes sebegitu kerana undang-undang kita terlalu terkebelakang.

“Setakat ini juga, tidak dapat kita katakan sama ada Seksyen 211 atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia boleh dikenakan.

“Mekanisme undang-undang boleh diambil tetapi harus diteliti dengan cermat oleh Peguam Negara dan pihak berkuasa,” katanya.

Semalam, NGO Melayu Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) (atas) membuat laporan polis terhadap Facebook “Bolehland” yang menyiarkan gambar suntingan Najib yang menyerupai sami Hindu.

Gambar itu disunting dengan mencantumkan wajah Najib dengan tubuh seorang sami Hindu.

Kritik k'jaan tak semestinya hasutan

Mengenai Akta Hasutan, Rais berpendapat bahawa seksyen 3 dan 4 dalam akta tersebut harus dikekalkan.

Katanya, kritikan terhadap kerajaan tidak semestinya menjadi hasutan kerana orang boleh membuat penilaian dan pandangan mereka terhadap mana-mana entiti.

Namun, beliau berkata hasutan terhadap Yang Dipertua Agong (kiri) yang merupakan simbol negara pula harus diambil tindakan kerana baginda bukan semata-mata individu.

“Begitu juga dengan hasutan yang sabit dengan hakim-hakim harus diambil tindakan kerana hakim ialah simbol kehakiman Negara,” katanya.

Katanya, seksyen 3 dan 4 harus terus dikekalkan sebagai undang-undang negara walaupun dikatakan sesetengah pihak bahawa undang-undang ini dibuat pada tahun 1948 dan bukan melalui parlimen.

“Mereka lupa di bawah Perlembagaan, ada kuasa penyelarasan undang-undang sebelum merdeka dengan undang-undang selepas merdeka,” katanya.

Tiada ulasan: