MALAYSIAKINI
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa
perwakilan yang hadir ke Perhimpunan Agung Umno tahun ini supaya menegur
kepemimpinan parti itu berhubung beberapa isu semasa yang hangat
dibincangkan kini.
Mengimbau sejarah beberapa presiden Umno termasuk dirinya yang ditegur,
diserang dan hampir kalah dalam permilihan parti, Dr Mahathir berkata
teguran penting bagi mengelakkan pemimpin Umno menganggap "perkara yang
salah dan tidak baik menjadi betul belaka".
Menulis dalam blognya hari ini, Dr Mahathir berkata beliau pernah dinasihatkan agar tidak menegur parti secara terbuka.
Katanya, walaupun sebelum ini beliau menegur secara tertutup beberapa
kali khususnya melibatkan masalah Bumiputera dan parti, tetapi tidak
berkesan.
"Harapan orang Melayu ialah wakil-wakil ke Perhimpunan Umno akan buat
teguran terhadap beberapa perkara yang hangat dibincang ramai sekarang.
"Pemimpin pula perlu dengar teguran ini dan ambil berat pandangan wakil.
Janganlah selalu mendengar orang tertentu yang dikeliling kita sahaja.
Yang mengeliling orang yang berkuasa tidak baik bagi mereka.
"Orang Melayu mungkin tidak pandai seperti pakar-pakar rujuk, tetapi
saya percaya orang Melayu tidak bodoh. Mereka yang membangunkan negara
dari sebuah negara miskin kepada negara yang memberi banyak nikmat
kepada semua," katanya.
Mengakui akan hadir ke perhimpunan itu jika kesihatan mengizinkan,
negarawan itu turut mahu memberi pandangan susulan cakap-cakap bahawa
parti itu kini "tidak popular dan tidak lagi relevan".
Batu loncatan
Katanya, perkara itu mempunyai asas apabila pemimpin dan ahli yang
didakwanya menjadikan Umno sebagai batu loncatan memperkayakan diri
sendiri.
Malah, katanya, Umno menerima ahli baru yang tidak mengancam kedudukan pemimpin yang sedia ada di semua peringkat.
Akhirnya, kata Dr Mahathir, ia akan melahirkan pemimpin yang lemah di
peringkat cawangan dan seterusnya menjadikan penggantinya pula lebih
lemah daripada ketuanya.
"Kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian semakin lama semakin
lemah dan tidak berupaya memimpin. Sebab itulah apabila ditanya siapa
yang akan jadi menteri besar Selangor jika Barisan Nasional menang,
tidak ada jawapan.
"Walhal Selangor penuh sesak dengan Melayu yang terpelajar, berbakat,
sudah kaya dan tidak perlu memperalatkan Umno untuk perkaya diri
sendiri.
"Mereka ini tidak boleh masuk Umno. Yang sedikit yang dapat masuk akan disekat kenaikan sebagai pemimpin," katanya.
Selain itu, Dr Mahathir juga berkata budaya war lord (kepala
perang) sudah meresap ke dalam parti itu dan ada pemimpin yang berbakat
dan berjiwa Umno menyertai parti lain kerana kecewa.
"Maka akan merosotlah Umno dan akan hilanglah parti keramat ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan