MALAYSIAKINI
Wakil Rakyat BN Selangor menolak peruntukan RM200,000 setahun
yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada setiap ADUN pembangkang
di negeri itu.
Selain rasa terhina dengan pemberian itu, Ketua Pembangkang Datuk
Shamsudin Lias berkata, kesemua 12 wakil rakyat BN menolaknya kerana
jumlah yang diberi tidak sama dengan jumlah yang diperolehi ADUN Pakatan
Rakyat.
"Kita tolak atas dasar prinsip. Prinsipnya keadilan. Sebenarnya, pada kita, kita rasa satu penghinaan. Kita adalah wakil rakyat.
"Apa beza dengan mereka yang juga wakil rakyat tetapi dapat dalam
RM700,000. Kalau fikir dasar keadilan, kena bagi (jumlah) sama.
"Kalau nak bagi, bagi (jumlah) sama. Itu baru namanya adil," katanya pada sidang media di lobi Dewan Annex, Shah Alam hari ini.
Selain itu, ditanya adakah wakil rakyat BN akan kekal menolak wang
peruntukkan tersebut, Shamsudin dengan tegas berkata: "kita menolak".
Ketika ditanya lagi sama ada mereka akan menerima sekiranya wang
peruntukkan diberi sebanyak RM700,000, Shamsudin berkata, beliau tidak
mahu membincangkan tentang perkara itu lagi.
"Perkara itu kita tak mahu bincangkan lagi," katanya ringkas.
Semalam, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa kerajaan
Selangor memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta bagi memberi peruntukan
sebanyak RM200,000 setahun kepada setiap 12 orang wakil rakyat BN mulai
tahun depan.
Semasa membentangkan belanjawan 2015, Azmin berkata, peruntukan itu
diberi bagi tujuan Program Mesra Rakyat serta meningkatkan khidmat wakil
rakyat kepada rakyat dan menjamin prinsip demokrasi.
Selain wakil rakyat BN, ADUN Pakatan turut mendapat peruntukkan yang
ditambah iaitu sebanyak RM700,000 setahun serta sejumlah RM100,000
setahun kepada penyelaras parlimen yang dilantik oleh kerajaan negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan