Oleh Shawaliah Hadir
SHAH ALAM: Pengharaman Sisters In Islam (SIS) sama sekali tiada kaitan
dengan faktor gender, demikian menurut Presiden Pertubuhan Muafakat
Sejahtera Malaysia (MUAFAKAT) Ismail Mina Ahmad.
Sebaliknya jelas beliau, pertubuhan yang membawa nama Islam atas
perjuangan yang dibawanya sering mencetuskan kontroversi sekaligus
berisiko tinggi merosakkan akidah umat Islam yang keliru dengan
pendirian dan kenyataan yang dilontarkan.
Justeru tindakan mengharamkan pertubuhan itu adalah untuk mengelakkan rosaknya akidah umat Islam di negara ini.
"Mereka silap... dalam banyak pertubuhan dalam negara ini juga
dipelopori wanita. Soalnya bukan soal gender lelaki atau perempuan,
tetapi isunya adalah isu agama, kerana menggunakan atas nama Islam.
"Kalau mereka tidak menggunakan nama Islam saya fikir Majlis Fatwa atau
Mais tidak mengambil apa-apa tindakan kepada mereka, tetapi kerana atas
nama Islam itu yang menjadi fitnah kepada agama," katanya kepada
Antarapos ketika dihubungi.
Dalam masa sama Ismail menegaskan jika isu gender yang dibangkitkan,
Majlis Fatwa termasuk Majlis Agama Islam Selangor (Mais) juga akan
mengharamkan mana-mana pertubuhan yang ditunjangi wanita di negeri itu,
namun tidak berlaku sedemikian.
"Kalau isu gender MAIS misalnya boleh mengharamkan pertubuhan wanita yang lain juga," katanya ringkas.
Untuk rekod, baru-baru ini SIS diharamkan penubuhannya di Selangor
oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu kerana didakwa mempromosikan
liberalisme dan pluralisme yang bercanggah dengan Islam.
NGO ini didakwa mengelirukan masyarakat muslim khususnya dengan
kenyataan lantang yang sering dikeluarkan bersabit hukum Islam termasuk
keperluan berpoligami yang pernah diutarakan sebelum ini.
Perkembangan itu membawa kepada tindakan SIS memfailkan semakan mahkamah semula sebagai cara mempertahankan pertubuhannya.
SIS menamakan Mais, Jawatakuasa Fatwa Selangor dan kerajaan negeri sebagai responden.
Badan bukan kerajaan itu mendakwa tindakan ini hanya mahu menyekat
tindakan mereka yang hanya mahu memperjuangkan kedudukan wanita
khususnya dalam negara dari sudut Islam mengikut kesesuaian masa dan
peredarannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan