SHAH ALAM: Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang bakal diadakan nanti adalah ujian sebenar Umno-Barisan Nasional (BN) selepas ahli Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan enam tahun lalu.
Malah, kolumnis akhbar Mingguan Malaysia, Awang Selamat hari ini berkata tidak mustahil BN boleh membuat kejutan pada pilihan raya kecil itu nanti.
"PRK Chempaka bukan medan pertempuran yang budiman buat BN pada situasi ini.
"Ujian sebenar yang menanti BN adalah PRK Permatang Pauh ekoran Ahli Parlimen, Anwar Ibrahim dipenjara atas kesalahan meliwat.
"Tidak mustahil BN boleh buat kejutan. Apa pun menang atau kalah soal lain tetapi di Permatang Pauh semboyan mesti berbunyi," tulis Awang Selamat dalam akhbar Mingguan Malaysia.
Menurut Awang Selamat, keyakinan itu dibuat berdasarkan peningkatan undi BN di kawasan itu pada pilihan raya umum lalu.
Media sebelum ini melaporkan anak kedua Anwar, Nurul Nuha Anwar, 31, seorang suri rumah berkelulusan Ijazah Teknologi Seni dan Visual dari Universiti George Mason, Amerika Syarikat disebut-sebut sebagai pengganti Ketua Pembangkang itu di Permatang Pauh.
Malah, Nurl Nuha diberikan "tugasan awal" dalam kempen terbaru perjuangan Anwar yang didakwa menjadi mangsa ketidakadilan.
Dalam sidang media di kediaman keluarga Anwar, Naib Presiden PKR Nurul Izzah yang juga anak sulung Anwar memperkenalkan adiknya itu kepada pengamal media.
Awal Febuari lalu Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan