MALAYSIAKINI
Tiga beradik hilang tempat bergantung selepas ibu mereka terlantar dan
tidak sedarkan diri di hospital selepas menjalani pembedahan membuang
ketumbuhan di bahagian otak pada 1 Feb lepas.
Saadiah Omar, 46, yang juga ibu tunggal, kini berada dalam keadaan
kritikal di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar berikutan mengalami
kerosakan buah pinggang selepas tiga hari pembedahan dan jangkitan kuman
pada paru-paru.
Adik Saadiah, Yaakob Omar, 42, berkata kakaknya yang tinggal di Kampung
Sungai Daun Tengah, Yan sebelum ini bekerja sebagai nelayan bagi menyara
kehidupan keluarga serta tiga anaknya yang masih bersekolah.
Katanya penyakit menimpa kakaknya dikesan setahun lepas apabila
penglihatannya mula kabur menyebabkan dia tidak dapat pergi ke laut
selain sering mengalami sakit kepala.
"Kakak saya mahu lakukan pembedahan secepat mungkin dengan harapan cepat
sembuh dan dapat kembali mencari rezeki untuk anak-anak dia. Doktor
sebelum ini memberitahu pembedahan berisiko tapi dia tetap hendak
lakukannya," katanya.
Yaakob berkata tiga anak saudaranya itu iaitu Nur Shamira Abd Yazid, 15,
Muhammad Nor Hisham, 13, dan Muhammad Nor Hafizi, 7, kini tinggal di
rumahnya di Kuala Sungai Limau sejak dua minggu lepas.
Sebagai seorang nelayan dengan pendapatan yang tidak menentu, dia
menaruh harapan supaya orang ramai menghulurkan bantuan kepada tiga
beradik tersebut bagi membolehkan mereka meneruskan persekolahan seperti
biasa.
Katanya Nur Shamira yang kini berada di tingkatan tiga Sekolah Menengah
Kebangsaan Yan memerlukan buku rujukan tambahan bagi menghadapi
peperiksaan Petaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
"Muhammad Nor Hisham yang bersekolah di Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran
Lil Banil di Batu Menunggol, Pendang memerlukan yuran pengajian sebanyak
RM100 setiap bulan dan Muhammad Nor Hafizi yang juga Orang Kelainan
Upaya juga memerlukan lampin pakai buang," katanya.
Menurut Nur Shamira, disebabkan keadaan kesihatan ibu yang tidak
mengizinkan dia terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga dan
menjaga kebajikan adik-adiknya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Yaakob di
talian 019-4265996 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional
02103-29-00001522-1 atas nama Yaakob Omar.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan