Tokoh tersebut ingin memohon pengampunan diberikan kepada Azilah dan Sirul daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup
PETALING JAYA: Sekumpulan tokoh-tokoh berpengaruh dilaporkan sedang berusaha mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memohon pengampunan terhadap bekas Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri.
Kedua-duanya telah dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh wanita warga Mongolia,
Altantuya Shaariibuu.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Shahbudin Husin mendakwa tokoh berkenaan dikatakan berbuat demikian atas dasar tanggungjawab serta perikemanusiaan kerana berasakan Azilah dan Sirul Azhar tidak seharusnya dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan tersebut.
Menulis di dalam blognya shahbudindotcom.blogspot.com, beliau menambah, kumpulan tokoh berpengaruh itu ingin memohon jasa baik Sultan Selangor agar mempertimbangkan pengampunan kedua-dua anggota polis itu daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup saja.
“Sekiranya pengampunan kepada hukuman penjara seumur hidup itu diperkenankan oleh Sultan Selangor, bermakna Azilah dan Sirul Azhar hanya perlu menjadi hukuman penjara sehingga mereka berusia 55 tahun tahun saja.
“Jika ditolak lagi dengan faktor berkelakuan baik dalam penjara, hukuman yang dijalani mungkin lebih singkat daripada itu. Selepas itu mereka menjadi manusia biasa yang bebas sebagaimana orang lain juga,” katanya.
Menurut Shahbudin, selagi Sirul Azhar berada di Australia, hukuman terhadap Azilah tidak dapat dilaksanakan dan menambah “selagi Sirul Azhar kekal dengan hukuman mati pula, Australia tidak akan menghantarnya pulang ke negara ini.”
Jelasnya, sebagai jalan tengah dan atas nama perikemanusiaan, tokoh-tokoh berpengaruh ini difahamkan sedang berusaha mengadap Sultan Selangor untuk memohon pertimbangan pengampunan bagi kedua-dua anggota polis itu.
Tambahnya lagi, setelah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan, satu-satunya jalan untuk Azilah dan Sirul mengelak daripada hukuman itu ialah dengan cara memohon pengampunan daripada Sultan Selangor kerana kejadian pembunuhan itu berlaku di negeri tersebut.
“Jika pengampunan diberikan, Australia dijangka tidak mempunyai masalah lagi untuk mengektradisi Sirul Azhar ke Malaysia bagi menjalani hukuman bersama-sama dengan Azilah yang sudah pun berada dalam penjara ketika ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan Azilah dan Sirul Azhar bersalah dan disabitkan atas tuduhan membunuh Altantuya.
Mereka berdua dihukum gantung sampai mati. Mahkamah juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah ekoran kegagalan anggota polis itu hadir ke mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan