Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
[ULASAN] Teruk
Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dihentam oleh
pemimpin-pemimpin DAP mengenai kenyataan beliau bahawa agenda DAP untuk
mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) boleh menyebabkan
ketegangan kaum.
PKR turut cepat melatah apabila Timbalan Presidennya Azmin Ali berkata,
Majlis Presiden Pakatan Rakyat harus bermesyuarat untuk menyelesaikan
kemelut terbaru DAP-PAS itu.
Azmin yang juga Menteri Besar Selangor menyimpang daripada isu yang
lebih mendesak iaitu mengatur strategi untuk meyakinkan PAS dan DAP
kembali ke meja mesyuarat untuk mencari jalan damai.
Majlis Presiden Pakatan Rakyat sudah tidak mengadakan mesyuarat untuk
lebih tujuh bulan – satu rekod baru untuk sebuah entiti yang mencanang
diri sebagai kerajaan alternatif yang menunggu masa mengambil alih
Putrajaya.
Perbalahan terbuka DAP-PAS yang berpaksi kepada ketegasan PAS
melaksanakan hudud di Kelantan nampaknya sudah tidak boleh dirungkai
lagi.
PAS makin jauh hati
Rasa tidak percaya PAS terhadap pimpinan PKR terutama sekali terhadap
Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan seolah-olah masih
membara.
Ramai yang melihat isu pilihan raya PBT yang dibawa oleh Hadi hanya
bertujuan mendedahkan sifat “talam dua muka” atau hipokrit DAP.
Umum memang sedar bahawa parti pimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang,
Lim Guan Eng itu membawa agenda pilihan raya PBT kerana mempunyai agenda
tersembunyi. Ia berdasarkan hakikat bahawa isu PBT ini bukan sebahagian
daripada agenda persetujuan Pakatan Rakyat.
Namun dalam nafas yang sama, DAP “mencincang” PAS, khususnya Hadi, di
forum-forum terbuka kerana mendakwa hudud yang diperjuangkan PAS bukan
sebahagian agenda Pakatan Rakyat.
Percanggahan yang didedahkan oleh Hadi (yakni hakikat “dua wajah”
berbeza DAP) bagaimanapun tidak mengundang sebarang kritikan atau
teguran daripada PKR.
Sebaliknya segelintir pemimpin PKR dan DAP bersekongkol pula menyindir
dan ada yang menuduh Hadi dan PAS sebagai “perosak di dalam Pakatan
Rakyat”.
Rasa “bengkak” Hadi terhadap Anwar dan DAP sejak beberapa bulan lalu bukanlah rahsia.
Tindak tanduk Anwar dan Lim ketika krisis Menteri Besar Selangor
hanya menjadikan Hadi tawar hati menghadiri mesyuarat Majlis Presiden
Pakatan Rakyat.
Terbaru, Ketua Pembangkang Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula mengugut
untuk memulau mesyuarat Pakatan jika PAS tidak menggugurkan agenda
melaksanakan hudud di Kelantan.
Rakyat tentunya bijak menilai sama ada politik ugutan dalam Pakatan
Rakyat sejajar dengan “politik baru” yang dijanjikan oleh pembangkang.
Hadi tentunya sudah tahu mahkamah sudahpun menolak permohonan kerajaan
negeri pimpinan DAP di Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya PBT
Presiden PAS sekadar menghantar mesej kepada DAP dan PKR bahawa
beliau sudah tidak tahan dengan politik hipokrit dua parti itu.
Kini terpulang kepada PKR mengatur mesyuarat Majlis Presiden Pakatan
Rakyat dalam persekitaran “politik baru’ yang dipamerkan
pemimpin-pemimpin tertinggi tiga parti komponen itu.
Sama ada PKR, khususnya Anwar, ikhlas atau tidak mahu mesyuarat itu
benar-benar dapat diatur, adalah soal lain. Marah, kecewa dan dendam
nampaknya menguasai sentimen ketiga-tiga parti berkenaan.
Mahu bermesyuarat untuk mengakrabkan kembali hubungan di antara parti
ini mungkin hanya cakap-cakap politik belaka. Namun yang pasti hubungan
ketiga-tiga parti itu nampaknya semakin genting.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan