KUALA LUMPUR: Selain menguatkuasakan pengharaman penjualan minuman
keras di Melaka, kerajaan negeri itu juga disarankan untuk mengadakan
perbincangan dengan pengusaha premis agar tidak mengupah pekerja
daripada kalangan mereka yang beragama Islam.
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal
Abdul Aziz berkata ini kerana adalah menjadi kewajipan semua pihak untuk
menyelamatkan mereka ini daripada dosa menjual arak.
"Cadangan kerajaan negeri Melaka ini satu yang baik tapi perlu juga ada
satu mekanisma untuk pastikan 7E yang menjual arak ini tidak dijaga
oleh pekerja muslim bagi memastikan mereka ini dapat diselamatkan
daripada dosa-dosa arak itu sendiri.
"Kerajaan negeri Melaka perlu berbincang dengan 7E yang menjual arak
ini supaya pekerja yang menjual minuman keras itu bukan dari kalangan
Islam.
"Jadi kita wajib selamatkan mereka ini daripada dosa menjual arak,"
katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos baru-baru ini.
Katanya, sudah tertulis dalam hadis 10 golongan yang akan dilaknat Allah SWT kerana arak.
"Sebab bila sebut tentang arak ini ada hadis yang mengatakan akan
laknat Allah kepada 10 golongan yang berkaitan dengan arak ini. Bukan
peminum saja...orang yang minum arak, menjual arak, menghidang arak,
memerah buah itu sendiri dan banyak lagi, pendek kata dalam hadis Nabi
tentang isu arak ini laknat Allah kepada 10 golongan yang konklusif
kepada semua yang terlibat yang memberikan saham dalam aspek arak ini,"
jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri
berkenaan bekerjasama sepenuhnya dalam menjayakan pelaksanaan cadangan
tersebut.
"Cuma dari aspek kerjasama di peringkat PBT harus beri kerjasama yang
sepenuhnya kepada kerajaan negeri termasuk mengenal pasti
kawasan-kawasan yang majoroiti dan majoriti bukan muslim bagi memastikan
pelaksanaannya lebih berkesan," katanya.
Malah, langkah kerajaan negeri Melaka ini wajar dijadikan ikutan kepada
negeri-negeri lain bagi memastikan apa yang disebut sebagai negara
Islam dapat dijelmakan dalam aspek praktikal.
"(Cadangan Kerajaan negeri Melaka) seharusnya ianya dijadikan contoh
kepada negeri-negeri lain untuk memastikan apa yang disebut tentang
Islam sebagai agama rasmi negara dan agama persekutuan dapat dijelmakan
dalam aspek praktikal," tambahnya.
Terdahulu, kerajaan Melaka menetapkan penjualan minuman keras di semua
kedai serbaneka 24 jam, 7-Eleven di negeri ini akan dikaji mengikut
komposisi kaum.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron memberitahu, bagi melaksanakan
arahan itu, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk
membuat kajian terperinci mengenai taburan penduduk mengikut kaum bagi
mendapatkan kebenaran penjualan minuman keras di 76 kedai serbaneka
7-Eleven di negeri berkenaan.
Sekiranya 90 peratus daripada kawasan 7-Eleven itu didiami oleh
penduduk Melayu atau Islam, maka kerajaan negeri melarang penjualan
sebarang jenis minuman keras termasuk arak dan bir.
Langkah itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri
Melaka selepas mengadakan pertemuan dengan wakil 7-Eleven di negeri
tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan