HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Mac 2015

Henti fitnah termasuk di media sosial- YDPA

 
Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap pihak-pihak terbabit


YDPA-smedia


KUALA LUMPUR: “Terdapat segelintir pihak yang cuba menggugat perpaduan dengan mengadu domba dan menyebarkan fitnah dalam kalangan masyarakat termasuk di media sosial”, titah baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

YDPA juga menasihatkan golongan itu supaya menghentikan terus perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak terbabit.

“Beta ingin menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipatuhi dan tidak dipersoalkan manakala agama-agama lain bebas diamalkan,” titah baginda lagi selepas merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Majlis Parlimen ke-13 di sini hari ini.

YDPA juga menyarankan sebarang perbezaan pandangan dalam isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa dan tidak wajar dipolemikkan.

“Konsep kebebasan bersuara juga hendaklah diamalkan dengan bertanggungjawab dan tidak menimbulkan sebarang ketegangan dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.

Tambahnya, sebagai sebuah negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kita sentiasa berpegang kepada prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Beta menyeru agar semua pihak faham bahawa sistem pemisahan kuasa di antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman telah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

“Percayalah, tidak ada yang lebih baik daripada bumi bertuah ini,” ujarnya.

Pembukaan penggal kedua Parlimen ke-13 kali ini menyaksikan perubahan dari segi atur cara sambutan majlis perbarisan kawalan kehormat yang sepatutnya berlangsung di Dataran Parlimen, diadakan di Dewan Bankuet Bangunan Parlimen.

Turut menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pancaragam Pusat Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi kemudiannya memainkan lagu ‘Negaraku’ diikuti tembakan meriam 21 das.

Tepat pukul 11 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan Seri Paduka diiringi ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari mulai hari ini hingga 9 April diikuti sidang Dewan Negara pada 13 April hingga 28 April.

Tiada ulasan: