shahbudindotcom.
Dalam
pertemuan dengan kira-kira 160 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara hari
ini, Najib Razak yang di pandangan mata kasar semakin goyang
kedudukannya dari persepsi rakyat telah diberikan harapan dan keyakinan
untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri untuk tempoh lebih lama lagi.
Ketua-ketua
bahagian yang hadir bukan saja memperbaharui ikrar dan sokongan, malah
memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Najib untuk menyelesaikan isu 1MDB
yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.
Maknanya
kini terserah kepada Najiblah bagaimana mahu menyelesaikan isu 1MDB
ini. Apa pun bentuk dan cara penyelesaian yang bakal diusahakan oleh
Najib, ketua-ketua bahagian ini akan akur dan patuh saja.
Begitu
juga sama ada audit akan dilakukan atau tidak atau sama ada
Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) akan melakukan penelitian atau
sebaliknya terhadap akaun 1MDB, semuanya juga sudah tidak bermakna lagi.
Ini
kerana belum pun audit dilakukan dan tidak pun lagi diketahui ada
penyelewengan atau tidak, Najib sudah pun memperolehi sokongan daripada
160 Ketua Bahagian.
Ini
sekaligus membuatkan Najib sudah boleh tidur lena dan tidak perlu risau
apa-apa lagi. Dengan 160 daripada 191 Ketua Bahagian hadir serta
memberi sokongan kepadanya, bermakna majoriti daripada lebih 3.5 juta
ahlinya juga turut sudah memberi sokongan kepada Najib.
Tiadalah
lagi selepas ini sebarang rungutan, perbincangan atau sosek-sosek di
kedai kopi atau lobi hotel berkenaan rasa tidak puas hati berkenaan 1MDB
ini.
Sudah
tertutuplah juga dengan sendirinya segala isu mengenai hutang,
pelaburan, pengambil-alihan dengan harga yang tinggi, simpanan di Pulau
Cayman, Jho Low, kaitan 1MDB dengan mana-mana ahli keluarga Perdana
Menteri dan sebagainya.
Tiadalah
juga Najib perlu bimbang apa-ap dengan ketidakhadiran Muhyiddin Yassin
serta beberapa Ketua Bahagian yang lain termasuk Mukhriz Mahathir dalam
pertemuan itu. Dengan 160 Ketua Bahagian sudah berikrar sanggup "sehidup
semati" dengannya, semua elemen lain hanyalah "kacang" saja selepas
ini.
Kalau
ada juga pihak lain selepas ini mahu terus mengancam kedudukan Najib,
lebih baik lupakan saja usaha itu. Semuanya sudah tidak bermakna lagi
kerana Najib sudah ada 160 panglima gagah berani bersamanya.
Semua isu 1MDB kini sudah dikira selesai. 160 Ketua UMNO Bahagian telah menutup segala-galanya.
Walaupun
pertemuan ini diadakan secara tertutup dan kehadiran Najib pula
dilaporkan secara sembunyi-sembunyi atau melalui pintu belakang seperti
dalam babak "aci-aci buka pintu", Malaysia nampaknya sudah aman dan
selamat dengan "tindakan bijak" 160 Ketua Bahagian berkumpul dan
menyatakan sokongan kepada Najib ini.
Keadaan
ini juga tentunya bakal merangsang sokongan rakyat yang lebih gemilang
dalam pilihanraya akan datang di mana UMNO dan BN kini tentunya sedang
berada di landasan yang betul untuk kembali memenangi majoriti dua
pertiga kerusi di Parlimen.
Tidak memeranjatkan kiranya jangkaan kemenangan BN juga melonjak kepada 160 kerusi dalam pilihanraya nanti.
Alhamdulillah...barangkali
inilah rahmatnya apabila Najib baru-baru ini mengumumkan beliau ingin
mencontohi ciri-ciri Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dalam kepimpinannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan