Saudi lancar perang Sebahagian kawasan berhampiran lapangan terbang yang musnah dalam serangan udara tersebut. - Foto AFP
 
 
 
SANAA - YAMAN. Krisis di Yaman semakin meruncing selepas kerajaan Arab Saudi mula campur tangan melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran ke atas negara itu dengan mengerahkan 150,000 tentera bersama 100 jet pejuang untuk menyertai operasi tersebut.

Kempen ketenteraan itu dilancarkan selepas pemberontak Houthi semakin mara ke bandar selatan Aden.

Serangan udara bertalu-talu yang dilancarkan ke atas Sanaa sejak kelmarin turut mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.

Saksi memberitahu penduduk turut membantu pihak berkuasa dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa dipercayai masih terperangkap di sebalik runtuhan rumah yang musnah akibat dibedil dalam kejadian terbabit.

Susulan daripada itu, angkatan bersenjata pro-Presiden Yaman, Abd Rabbuh Mansur Hadi dilaporkan berjaya merampas semula lapangan terbang antarabangsa di bandar selatan Aden yang ditawan pemberontak Houthi.

Duta Saudi ke AS, Adel al-Jubeir memberitahu operasi itu bertujuan untuk mempertahankan kerajaan yang sah dan ia telah telah dibincangkan terlebih dahulu bersama negara sekutu terutamanya Washington.

"Kempen ketenteraan ini akan disertai lebih 10 negara termasuk Mesir dan Jordan. Kami akan bermati-matian memerangi kumpulan pemberontak tersebut," tegasnya. - Press TV