HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Mac 2015

Rakaman Cubaan Ragut Bawa Penahanan Suspek

Oleh: M. KUMAR


 
 
 
PETALING JAYA: Rakaman cubaan ragut yang diambil daripada sebuah kamera di bahagian 'dashboard' kenderaan membawa kepada penahanan suspek.

Video tersebut yang kini menjadi viral di Facebook menunjukkan seorang wanita warga emas sedang menunggu untuk menyeberang jalan.

Ketika kejadian, dua lelaki menaiki motosikal melalui jalan itu dan meragut beg tangan milik wanita berkenaan, namun mangsa dapat mempertahankannya dengan memegang beg tersebut dengan kuat sehingga menyebabkan dia diseret di sepanjang jalan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim berkata, insiden itu berlaku di Jalan 20/16A di sini kira-kira pukul 10.20 pagi Rabu.

"Lau Hong Leng, seorang suri rumah berusia 40 tahun menyaksikan kejadian itu ketika dia berada di dalam kereta semasa menunggu suaminya.

"Dia kemudiannya membuat laporan polis yang disertakan dengan nombor plat kenderaan yang dirakamkan di dalam video itu," katanya ketika dihubungi.

Maklumat yang diberikan itu membawa kepada penahanan dua suspek berusia 21 dan 24 tahun.
Azmi berkata, mangsa dikenali sebagai Seow Wah Yin, 76, mengalami kecederaan di bahagian dahi, lengan kanan dan kaki akibat diseret di sepanjang jalan.

"Dia berjaya memegang kuat beg tangannya," katanya, sambil menambah wanita itu menerima rawatan di sebuah klinik berdekatan selepas kejadian berlaku.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Tiada ulasan: