MALAYSIAKINI
Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tekanan ke atas Datuk Seri Najib
Razak dengan mempersoalkan sekiranya 1MDB terlibat dengan pengubahan
wang haram dengan pengetahuan perdana menteri itu.
Bekas PM itu merujuk kepada dana dari Cayman Islands yang kononnya disimpan di Singapura.
"Soalnya apakah 1MDB dengan pengetahuan penasihatnya terlibat dengan
money laundering, sehingga wang dari Cayman Islands terpaksa disimpan di
Singapura.
"Singapura juga memeriksa dengan teliti wang yang masuk-keluar negara itu bagi mengelak jenayah money laundering.
"Apakah 1MDB tidak tahu akan peraturan Monetary Authority of Singapore (MAS)?," soal Mahathir dalam tulisan di blog chedet.cc.
Mahathir menjawab kenyataan Najib bahawa dana AS$1.103 bilion (RM4
bilion) disimpan di Singapura kerana Bank Negara Malaysia akan
mempersoalkan semua transaksi bernilai lebih RM50 juta.
Menurut Mahathir, campur tangan Bank Negara dalam transaksi tersebut
tidak akan menimbulkan masalah jika semuanya dibuat mengikut
undang-undang dan bukan satu pengubahan wang haram.
Mahathir mula mempersoalkan mengenai dana 1MDB berjumlah AS$1.103 bilion
selepas kerajaan memberi penjelasan mengelirukan mengenai status dana
tersebut.
Menteri bertanggungjawab
Menurut 1MDB, dana berkenaan ditebus dalam bentuk tunai dari Cayman
Islands dan disimpan di BSI Singapura selepas pembatalan satu urusniaga
dengan PetroSaudi..
Ia turut ditegaskan oleh Najib dalam satu jawapan bertulis di Parlimen
pada 10 Mac. Seterusnya pada 20 Mei, Najib mengubah jawapannya dan
berkata wang tersebut dalam bentuk aset.
Lebih mengelirukan lagi, Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah
menyatakan bahawa aset tersebut dalam bentuk “unit” tetapi tidak
menjelaskan maksudnya.
Ini menyebabkan Mahathir menuduh beliau berbohong dan melakukan kesalahan jenayah kerana menyembunyikan perkara sebenar.
Dalam tulisannya hari ini, Mahathir seterusnya menegaskan bahawa menteri
bertanggungjawab untuk memeriksa jawapan mereka, walaupun jika ia
disediakan oleh pegawai kerajaan.
“Pegawai-pegawai yang menyediakan jawapan tidak kebal. Mereka masih bertanggungjawab terhadap isi kandungan jawapan.
“Jika didapati mereka tidak tentukan jawapan yang disediakan oleh mereka
berasas kepada kebenaran, kerana tidak berasas kepada maklumat dan
bukti yang sahih, mereka boleh dituduh sengaja mencuba melindungi
menteri kerana menyembunyikan kebenaran.
“Dengan perkataan lain menteri masih boleh dituduh membohong dan pegawai juga akan dituduh bersama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan