KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Shahidan Kassim hari ini mencabar Pakatan Rakyat (PR) supaya menamakan
calon perdana menteri dalam kabinet bayangan mereka seperti yang
diumumkan ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Parti yang majoriti sekarang adalah DAP memiliki 37 kerusi, PKR ada 29
kerusi dan PAS 21 kerusi, jadi sudah pasti DAP yang patut jadi perdana
menteri.
"Atau apakah mahu berikan jawatan itu kepada ketua pembangkang, tetapi
jika ketua pembangkang itu datang daripada parti lemah sudah tentu dia
tidak mampu menjadi perdana menteri yang kuat," katanya yang ditemui
pemberita di lobi Parlimen di sini.
Semalam, Wan Azizah dalam satu sidang media berkata PR akan mewujudkan
semula kabinet bayangan pembangkang yang bertujuan memperkukuh sistem
'check and balance' (periksa dan imbang).
Wan Azizah berkata jawatankuasa kabinet bayangan pembangkang untuk setiap kementerian akan diwakili oleh anggota Parlimen PR.
Bagaimanapun, hari ini cadangan ketua pembangkang itu menerima
tamparan hebat apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menolak
cadangan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai tidak praktikal.
Sebaliknya parti itu tampil dengan kabinet bayangannya sendiri, namun
tidak menamakan calon perdana menteri yang akan menerajuinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan