Munculnya ekstremisme dalam PAS Oleh A Shukur Harun
Ekstremisme, atau golongan berfaham melampau wujud dalam mana-mana organisasi masyarakat, khususnya parti politik di mana-mana pun. Ia sudah lama wujud sepanjang sejarah manusia.
Ekstremis ini sangat fanatik kepada kumpulan mereka, tidak kira memiliki kebenaran atau tidak. Golongan ini juga mengesampingkan aspek moral dan etika, malah nilai kemanusiaan.
Sebab itu tindakan golongan fanatik ini semata-mata didorong atas kepentingan golongan mereka saja, bukan berdasarkan hak dan kebenaran.
Malah mereka bersikap “tujuan menghalalkan cara”, iaitu doktrin politik Machiavelli, ahli teori politik Itali yang berkata: “Politik tidak ada hubungan dengan moral.”
Malah Machiavelli juga pernah menyebut: “Men rise from one ambition to another: First, they seek to secure themselves against attack, and then they attack others.”
(Manusia berkembang daripada satu cita-cita yang kepada cita-cita yang lain: Pertama, mereka meminta untuk menjamin diri mereka daripada serangan dan kemudian mereka menyerang orang lain).
Demikianlah sifat atau watak golongan pelampau di mana kehadirannya dalam masyarakat menimbulkan pelbagai masalah, malah menimbulkan krisis berat.
Di sini saya teringat mengenai kebimbangan ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang menyelar golongan ustaz muda yang tidak hormat kepada pemimpin kanan dalam parti dan bersikap melampau.
Katanya, golongan berkenaan dengan mudah menuduh golongan dalam PAS sendiri sebagai liberal dan anti ulama, sedangkan mereka masih tidak memahami landskap perjuangan parti.
“Yang baru masuk PAS 2,3 hari, bercakap macam masuk PAS sudah 20 tahun. Tidak hormat orang tua, orang lama. Macamlah mereka sudah kenal PAS lebih awal daripada kita,” katanya.
Menurut beliau, dakwat mereka yang menandatangani borang ahli PAS pun belum kering lagi, sudah mencabar orang itu tak betul, orang ini tidak betul. Ini ustaz muda ini yang baru balik dari Mesir. Tidak hormat langsung para ulama yang sudah ada di sini.
Mujahid menyatakan ini dalam suatu forum di Kuala Lumpur minggu lalu. Golongan ini yang disifatkannya sudah melampau, mudah saja mengata dekat orang lain liberal, anti ulama, Islam sekular dan sebagai.
“Mereka baru balik 2,3 hari. Belajarlah dulu. Kami belajar dari bawah, bertatih daripada cawangan naik kepada kawasan dan negeri,” katanya yang menjadi ahli panel dalam forum berkenaan bersama Faiz Fadzil, anak belas presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.
Senada dengan Mujahid, Faiz berkata apa yang dibimbangkan adalah golongan ustaz muda yang akan membawa PAS ke jalan yang terpesong.
Seperti juga kecaman pelbagai pihak sebelum ini mengenai insiden demonstrasi di depan Pejabat Agung PAS tidak lama dulu, Faiz berkata insiden melampau itu memberikan imej buruk kepada parti, sekali gus memberi mesej yang salah terhadap agenda perjuangan parti.
“Yang kita bimbang ustaz muda bawa parti ke jalan terpesong, menjadi ekstrem dan ini budaya samseng,” katanya.
Malangnya, hingga kini tiada sebarang tindakan disiplin diambil oleh PAS terhadap mereka yang berdemonstrasi itu pada hal perbuatan itu sangat memalukan.
Pada pendapat saya, inilah fenomena ekstremisme di dalam PAS yang sangat dibimbangi oleh pelbagai pihak ketika PAS sudah berumur 61 tahun.
Kita belum lupa akan gejala melampau yang tercetus dalam muktamar PAS di Johor tahun lalu di mana segolongan Pemuda PAS berjaket hitam di belakangnya bertulis “Kami menyokong Presiden “, keluar Muktamar Pemuda kerana memboikot ucapan Mohamad Sabu.
Selain itu pelbagai kekecohan berlaku dalam muktamar penuh PAS di Batu Pahat yang sangat memalukan.
Inilah fenomena ekstremisme di dalam PAS yang kini semakin terserlah. Gejala ini sangat membimbangkan.
Tidak ada jaminan perkara ini tidak berulang lagi dalam muktamar awal Jun ini, lebih-lebih ada pemilihan pucuk pimpinan yang begitu sengit iaitu antara golongan pro-Pakatan Rakyat dengan golongan yang kritikal terhadap Pakatan. Golongan sederhana dengan golongan yang melampau.
Kini ternyata golongan pelampau ini semakin berani dan garang, seolah-olah mahu mendominasi PAS itu sendiri. Mereka mahukan kemenangan, walau dengan apa cara pun.
Baru-baru ini, Ahmad Awang, salah seorang calon presiden di muktamar PAS awal Jun depan mendakwa ada pihak tertentu “melarang” ahli PAS dari mendengar ceramah beliau sejak akhir-akhir ini.
Hinggakan, katanya, ada ahli PAS secara sembunyi-sembunyi datang juga untuk mendengar ceramahnya. Demikianlah begitu dahsyat sekali perkembangan yang berlaku.
Sungguh malang, PAS yang sudah berumur 61 tahun dan mempunyai sejarah panjang perjuangan politik dan dakwahnya dengan ukhuwah serta kasih sayang yang dibina sekian lama kini tiba-tiba terbentur dengan situasi yang sedemikian rupa.
Seperti yang pernah saya katakan dulu bahawa masa depan PAS bergantung kepada golongan sederhana, bukan golongan ekstrem, yang sanggup melemparkan pelbagai tuduhan, malah fitnah sesama ahli.
Masa depan PAS tidak bergantung kepada jenis pendukung PAS yang berdemonstrasi di depan Pejabat Agung PAS, yang sanggup menerbitkan buku dan risalah yang penuh dengan tuduhan dan kecaman terhadap golongan yang dibencinya.
Masa depan PAS tidak juga bergantung kepada jenis pendukung yang memperbanyak musuh, memutuskan ukhuwah sesama jemaah, wala hanya kepada sesetengah pemimpin tetapi tidak wala, malah membenci kepada sesetengah pemimpin yang lain
Masa depan PAS bergantung kepada golongan sederhana, rasional, bercakap dengan ilmu dan fakta, bukan emosi dan prejudis. Bukan kepada golongan ekstremis atau pelampau. Kerana pelampau hanya mengundang permusuhan dan kemusnahan.
Parti politik seperti PAS bergantung kepada sokongan pelbagai pihak, termasuk kepada bukan Islam, untuk mencapai kemenangan politik.
Seperti kata Mujahid, PAS perlu terus bersama Pakatan Rakyat untuk mencapai kemenangan politik hingga ke Putrajaya. Dari perjuangan itulah semoga mendapat reda Allah dalam usaha menegakkan hukum dan membangunkan ummah. Macam mana hendak tegakkan Islam di negara ini jika kita tidak menang?
Di sini Mujahid bertanya, kenapa kemenangan selalu dikaitkan dengan negatif? Melainkan ini agenda musuh. Al-Quran sendiri, katanya, tidak pernah menjelaskan akan sesuatu kemenangan itu yang tidak mendapat keredaan Allah.
Semuanya ini perlulah difikirkan, kerana kita semua sayangkan parti.
UlASAN GB
GB pernah mengulas sebelum ini:
Gejala budaya samseng semakin menjadi-jadi di dalam PAS dan lebih memalukan ia dilakukan oleh kumpulan yang mendakwa diri mereka pro-ulama dan bergelar "ustaz". Semasa di Muktamar PAS yang lalu sudah ada unsur samseng di dalam PAS, sekumpulan "50 gagak hitam" yang meninggalkan dewan semasa Timbalan presiden berucap dan ada kumpulan yang memboo semasa AJK PAS Pusat Hanipa Maidin berucap. Apakah ini akhlak Islam yang ditonjolkan oleh kumpulan yang mendabik dada menyatakan kononnya mereka pro-ulama, pro-MSU, pro Presiden?
Selepas daripada tindakan keluar muktamar dan mengeboo ucapan penangguhan seorang AJK PAS Pusat, mereka sekali lagi membuat kacau dengan sekumpulan pemuda kononnya pro-ulamak berbadan besar yang telah mengepung Safwan Anang, Pengarah Eksekutif LENSA berhampiran bangunan pejabat PAS. Safwan bukan saja dikepung malah beliau diugut akan dipukul.
Kesemua budaya berkenaan adalah budaya samseng dan budaya liar yang jauh dari akhlak Islamiah ... tetapi tiada sebarang tindakan diambil hanya semata-mata kerana mereka kononnya kumpulan pro-ulamak.
Jika Haji Hadi dan kumpulan pro-UG tewas di dalam pemilihan akan datang ini ia adalah angkara budaya samseng oleh para penyokongnya yang dibiarkan hidup subur di dalam PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan