Oleh RAYUSA
GEMPAR baru-baru ini kes penuntut jurusan matematik dari Malaysia, Nur Fitri Azmeer yang didapati memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London. Pelajar berusia 23 tahun itu telah dibicarakan mengikut sistem perundangan British.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak menegaskan kesalahan Nur Fitri itu adalah jenayah yang amat berat. Justeru, tambah beliau, Nur Fitri mesti dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Sehubungan itu, Najib tidak bersetuju dengan cadangan atau komen sesetengah pihak bahawa kerajaan perlu merayu kes Nur Fitri untuk mengurangkan hukumannya, apatah lagi menggunakan dana awam bagi tujuan itu.
Kata Najib, Nur Fitri telah dibicarakan mengikut sistem perundangan Britain, diberi peluang untuk mempertahan diri, dan didapati bersalah.
Mungkin bagi Najib, itu sudah memadai. Dalam entri menerusi blognya, najibrazak.com, 7 Mei lalu, beliau menegaskan kita harus menghormati undang-undang dan sesiapa yang didapati bersalah mesti dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Walau bagaimanapun, kata Najib, Nur Fitri mesti diberikan bimbingan kaunseling agar dia tidak mengulangi kesalahan demi kebaikannya dan masyarakat. Jelas beliau, perkara itu perlu dilakukan agar individu tersebut dapat diterima kembali oleh masyarakat.
Sebelum ini, beberapa pihak mencadangkan supaya pelajar tajaan Mara itu diberi peluang kedua termasuk meneruskan pengajiannya dalam negara setelah selesai menjalani hukuman di London.
Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London setelah mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.
Siapakah yang bersalah atau wajar dipersalah dalam hal ini?
Kita memang boleh berbangga dan kagum dengan kemampuan Nur Fitri. Namun begitu, kebanggaan dan kekaguman itu tiada erti jika tidak disertakan dengan akhlak mulia. Nur Fitri ternyata berakhlak dan bermoral rendah!
Jangan pula ada yang menganggapnya sebagai kes terpencil kerana ia berlaku di negara yang terkenal dan antara kuasa besar dunia. Malaysia juga (kononnya) telah dikenali seluruh dunia.
Hasil sistem pendidikan anjuran kerajaan mana? Yang pasti bukan kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak pernah mentadbir negara.
Adakah ini juga yang dikatakan bapa borek anak rintik? Semakin banyak pemimpin negara kita dari kerajaan yang berkuasa hari ini yang rendah akhlak, penyonglap wang negara, dan penaja kisah seks murahan demi survival politik mereka. Justeru tidak hairan jika rakyat juga berperangai buruk walaupun pintar dalam pelajaran akademik.
Memang sewajarnya Najib kesal dan marah dengan kes Nur Fitri ini. Walau bagaimanapun, beliau juga perlu sedar kekesalan dan kemarahan sahaja tidak mencukupi Perubahan positif dalam pentadbirannya perlu dilakukan.
Barangkali ada yang menganggap ia remeh dan tiada kaitan, tetapi keberkatan dan restu Allah SWT - apatah lagi beliau beragama Islam, tidak boleh dinafikan begitu sahaja.
Kita tidak mahu muncul pula Nur Fitri kedua sama ada dalam bidang yang sama atau berbeza.
Mungkin untuk dekad atau zaman ini sudah terlambat, namun dari sekarang boleh diusahakan ke arah kebaikan itu untuk generasi akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan