SHAH ALAM – Ahli Parlimen (DAP-Bukit Bendera), Zairil Khir Johari kesal apabila Kerajaan Persekutuan didakwa meminggirkan Pulau Pinang dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) apabila tidak tersenarai sebagai bandar yang berdaya saing untuk pelaburan.
 
Beliau berkata, pengecualian itu menunjukkan Kerajaan Persekutuan berterusan mengamalkan budaya politik sempit dan berjiwa kecil sedangkan Pulau Pinang adalah bandar terkenal dan maju selepas Kuala Lumpur.
 
 “Pulau Pinang juga sebagai bandar raya paling sesuai didiami di Malaysia mengikut ECA International, malah pengecualian itu juga tidak sesuai dengan kriteria yang digunakan oleh kerajaan sendiri.
 
 “Oleh itu, pengecualian itu adalah tidak kurang daripada satu mempersendakan pentadbiran Pulau Pinang yang hanya berdasarkan politik kecil dan sempit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Dalam RMK11 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, kerajaan telah memperkenalkan enam teras strategik dan salah satu daripadanya adalah melabur dalam bandar berdaya saing.
 
Di bawah bidang tumpuan itu, Pelan Induk Daya Saing Bandar itu akan dirangka bagi empat bandar utama iaitu Kuala Lumpur, Johor Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu berdasarkan prinsip utama yang meningkatkan daya huni dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
 
Prinsip itu termasuklah mewujudkan kepadatan bagi meningkatkan kecekapan, memperluas pembangunan berasaskan transit bagi meningkatkan mobiliti dan memperkukuh kluster berasaskan pengetahuan bagi meningkatkan inovasi dan aglomerasi.
 
Mengulas lanjut, Zairil yang juga Pengarah Eksekutif, Institut Pulau Pinang berkata Pulau Pinang mempunyai taburan penduduk yang kedua tertinggi di negara ini selepas Kuala Lumpur sekaligus menjadi penyumbang utama dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
 
“Pada 2014, KDNK Pulau Pinang adalah RM71 bilion, yang merupakan tertinggi kelima selepas Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sarawak.
 
“Apa yang dinyatakan oleh RMK-11 itu sendiri, Pulau Pinang lebih daripada layak untuk dipilih sebagai salah satu daripada empat bandar-bandar untuk dimasukkan ke dalam pelan induk yang dirancang untuk bandar-bandar,” katanya.