KUALA LUMPUR - Dua individu yang diculik di sebuah restoran di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lalu dikhuatiri dijual kepada pihak lain.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setelah dibawa ke kepulauan Jolo, keluarga mangsa belum mendapat sebarang tuntutan bayaran daripada penculik.
"Penculik-penculik telah membawa mangsa penculikan di Jolo dan setakat ini pihak keluarga belum dapat sebarang tuntutan bayaran oleh pihak penculik.
"Lazimnya orang yang menculik itu tidak menghubungi keluarga untuk menuntut bayaran tetapi akan menjual kepada pihak lain," katanya pada sidang medianya di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang pengurus restoran wanita berusia 50 tahun dan seorang lelaki berusia 39 tahun diculik sekumpulan bersenjata di Jalan Batu Sapi, Sandakan, Sabah kira-kira jam 7.40 malam pada 14 Mei lalu.
Mengulas lanjut, beliau berkata lagi, perkara seperti itu turut pernah terjadi terhadap anggota pasukan Polis Marin Lans Koperal Zakiah Aleip yang turut dijual dari satu pihak kepada pihak yang lain.
"(Perkara ini) pernah berlaku (menjual) kepada Lans Koperal Zakiah yang juga telah berpindah dari satu tangan kepada tangan yang lain
"Saya harap mereka berada dalam keadaan yang selamat.," katanya.
Pada 14 Mei lalu, pengurus Restoran Ocean King, Thien Nyuk Fun, 50, dan seorang lelaki, Bernard Ghen Ted Fen, 39, yang merupakan konsultan elektronik di Kemboja telah diculik dipercayai didalangi oleh kumpulan Muktadil Brothers.
Sementara itu, mengulas isu Rohingya, beliau berkata pihak polis sedang menggali kubur-kubur yang telah didakwa milik pelarian etnik itu.
"Unit forensik PDRM sedang menggali kubur-kubur yang telah dikenal pasti dan akan melakukan beberapa ujian forensik bukan sahaja bagi menentukan berapa mayat telah ditanam di kubur itu
"Tetapi akan dikenalpasti sama ada mereka itu orang Rohingya ataupun usaha pemerdagangan orang sama ada orang Bangladesh," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan