KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diingatkan tidak mempolitikkan isu pelarian etnik Rohingya dengan menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mahu bekerjasama untuk memberikan perlindungan.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima maklumat mengenainya dan tidak wajar Ahmad Zahid menyerangnya dengan membuat tuduhan tidak berasas.

"Tak patut Zahid cakap macam itu sedangkan kita sudah bersedia dan mahu bekerjasama untuk pertahankan kedaulatan negara dan rela bekerjasama (beri bantuan).

"Sungguhpun Kerajaan Negeri Pulau Pinang tiada kuasa terhadap Jabatan Imigresen dan penguatkuasa, kita rela bekerjasama jika memerlukan," katanya pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menempelak kerajaan Pakatan Pulau Pinang yang diketuai Guan Eng kerana enggan menerima pendatang Rohingya dan Bangladesh.

Ahmad Zahid mempersoal tindakan kerajaan negeri itu yang enggan menerima pelarian-pelarian tersebut malah mahu mereka ditempatkan di tanah milik Kerajaan Persekutuan.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pula mencadangkan negeri di kawasan utara termasuk Pulau Pinang dijadikan sebagai lokasi sementara 7,000 pelarian Rohingya dan Bangladesh yang terdampar di perairan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, serangan Ahmad Zahid itu dipercayai sebagai tindakan balas dendam apabila BN gagal merampas kerusi Permatang Pauh pada pilihan raya lalu.

"Jangan main politik, jadilah menteri yang bertanggungjawab, ini taktik kotor dia untuk balas dendam bila BN hilang Permatang Pauh," dakwanya.

Guan Eng juga mencabar Ahmad Zahid supaya mengeluarkan kenyataan sama apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir enggan menerima pelarian ini kerana tiada kemampuan.

"Kalau Kedah ada masalah sama, kenapa Ahmad Zahid tak keluarkan kenyataan sama pada Kedah.

"Jangan tolak tanggungjawab kepada negeri, bila negeri tiada kuasa ataupun tentera, kita tiada sumber, hanya kerajaan pusat sahaja memiliknya," ujarnya.

Beliau berkata lagi, serangan Ahmad Zahid itu dipercayai cuba mengalihkan isu politik dalaman Umno khususnya yang melibatkan pemimpin Umno itu.

"Saya Tahu dia ada masalah dalam Umno, jangan alihkan dengan isu serangan ini bila kita mahu hulurkan bantuan tapi kerajaan pusat tidak bincang langsung," katanya lagi.