Myanmar akan menyertai mesyuarat mengenai isu migran Rohingya yang dihos oleh Thailand pada 29 Mei hadapan, Timbalan Menteri Luar Myanmar Thant Kyaw mengesahkan demikian hari ini.
Mesyuarat itu akan dihadiri oleh sekurang-kurangnya 18 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Myanmar, dan tiga organisasi antarabangsa.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Thailand di sini hari ini, Thant Kyaw berkata, "Saya kira
mesyuarat itu baik kerana ini membabitkan hal kemanusiaan.
"Tetapi jika ia untuk tujuan politik, ia akan menjadi lebih rumit dan kompleks," katanya.
"Kita semua perlu duduk berbincang dan mencari jalan menangani masalah ini kerana ini membabitkan manusia dan wujud bencana di laut.
"Kita perlu selesaikan masalah ini bersama," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Jen Prayuth Chan-ocha berkata negaranya akan memutuskan sama ada sedia menerima "orang hanyut" itu selepas mesyuarat tersebut.
Malaysia dan Indonesia hari ini mengumumkan bahawa mereka bersetuju menawarkan bantuan dan perlindungan sementara kepada migran Rohingya.
Anifah ke Myanmar esok
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan melakukan lawatan kerja ke Myanmar hari ini untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya, U Wunna Maung Lwin.
Anifah, dalam satu kenyataan malam tadi berkata mesyuarat di Nay Pyi Taw itu akan membincangkan isu kebanjiran tidak teratur migran, penyeludupan orang dan pemerdagangan manusia di rantau ini.
Anifah akan diiringi para pegawai kanan kementerian itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan