HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Mei 2015

Ramai pelarian berbunuh berebut makanan



Oleh Abd Shukur Harun


KETIKA beribu-ribu pelarian Rohingya sedang bergelut dengan maut, kebuluran, terapung-apung di perairan Asia Tenggara dan Laut Andaman, depan Aceh, pemerintah Myanmar tidak mempedulikan mereka.

Ini kerana Myanmar sedang menghadapi krisis politik yang sangat berat.Ini menyukarkan negara itu untuk menyelesaikan krisis pelariannya itu.

Tragedi pelarian Rohingya dan Bangladesh yang terapung-apung itu bergelut dengan maut itu berlaku ketika Myanmar berdepan dengan krisis politik untuk menentukan masa depan negara itu.
Negara tersebut akan mengadakan pilihan raya umum November ini  untuk kali pertama sejak 1990, di mana parti pembangkang diketuai Aung San Suu Kyi akan menyertainya.

Walaupun berdepan dengan krisis kemanusiaan yang berat dan desakan berulang kali oleh masyarakat dunia supaya kerajaan Myanmar mengkaji semula peranannya sebagai sumber masalah pelarian, namun kerajaan Myanmar serta parti pembangkang hanya membisu dan enggan menangani krisis tersebut.

Kerajaan Myanmar selama inipun menolak isu itu dijadikan agenda antarabangsa. Malah, mengancam untuk tidak hadir dalam persidangan serantau jika isu Rohingya dibangkitkan oleh negara jiran.

Akibatnya, Suu Kyi yang dikenali sebagai pemimpin gerakan prodemokrasi dan mengetuai parti pembangkang, Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) telah menjadi sasaran kecaman.

Pelbagai pihak mengharapkan wanita yang pernah memenangi anugerah keamanan Nobel pada 1991 itu diharapkan membantu mengatasi isu Rohingya.

Tetapi Suu Kyi enggan memberi jawapan jelas.

Seorang penganalisis kanan kumpulan pemikir di Yangon berkata, Suu Kyi mempunyai kepentingan politik yang banyak di Myanmar.

Dengan sikap yang seiring dengan pendirian kerajaan, jurucakap NLD berkata, parti itu tidak dapat menerima definisi Rohingya tetapi menganggap mereka yang berjumlah kira-kira sejuta orang itu sebagai etnik Bengali yang dianggap pendatang haram dari Bangladesh.

Kini suasana sangat tegang di antara penduduk majoriti Buddha dan Muslim Rohingya.

Suu Kyi dan NLD-nya bergantunng kepada undi penganut Buddha jika mahu menang dalam pilihan raya umum November ini walaupun jika dia dihalang perlembagaan untuk menjadi presiden. Tetapi badan hak asasi manusia (HRW) berkata, strategi politik yang diambil Suu Kyi membawa bencana kepada pelarian tersebut.

Laporan mengatakan bahawa walaupun sudah ramai diselamatkan oleh Malaysia (di Langkawi) dan Indoneia (di pantai Aceh) tetapi kini dipercayai ada ribuan di dalam perahu yang padat dan terapung-apung di lautan.

Laporan terkini menyebut bahawa antara 100 dan 200 orang telah terbunuh selepas etnik Rohingya dan Bangladesh berebut makanan sesama sendiri di dalam kapal yang membawa mereka yang kemudian terdampar di pantai Aceh.

Ini adalah tragedi kemanusiaan yang sangat dahshat. Pihak keselamatan di Aceh menjumpai pisau, kapak, parang, besi tajam dan lain-lain senjata yang digunakan oleh kedua-dua pihak ketika berkelahi berebut makanan di dalam lapal yang mereka tumpangi.

Dilaporkan kini lebih 3,000 orang Rohinya dan Bangladesh berada di lautan untuk menuju ke negara Asia Tenggara.

Sementara itu, yang menjadi sasaran utama kumpulan pelampau Bhuddis di Mayanmar, ialah etnik Muslim Rohingya. Mereka membunuh beribu-ribu Muslim Rohingya, membakar masjid dan rumah kediaman Muslim di negara itu.

Mereka dihimpunkan di beberapa tempat, termasuk di tepi pantai,  di dalam paya dan hutan. Kemudian dibunuh dengan kejam, ternasuk wanita dan kanak-kanak. Sebab itu ada penduduk di bandar Maungdaw di barat Myanmar memberitahu:

"Bagi mereka, lebih baik mati di laut daripada hidup di tanah yang penuh diskriminasi," kata seorang lelaki tua di situ.

Beberapa pihak  telah menyalahkan kerajaan Bangladesh – jiran Myanmar – yang turut melimpahkan pelariannya di Malaysia dan negara jiran yang lain. Beribu-ribu pelarian Myanmar dan Bangladesh baru-baru ini mendarat di Langkawi dan keadaan ini mencemaskan serta menimbulkan krisis berat.

Hingga kini pihak Myanmar dan Bangladesh membisu mengenai limpahan pendatang mereka ke negara ini dan di negara jiran.

Menurut perangkaan, rakyat Myanmar adalah jumlah pelarian dan pencari suaka politik teramai di Malaysia.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menganggarkan setakat akhir Februari tahun ini, kira-kira 141,570 daripada keseluruhan 152,570 pelarian dan pencari suaka politik adalah warga Myanmar.

Mereka termasuk kira-kira 49,800 etnik Chin, 45,170 Rohingya, 12,340 Muslim, 7,320 Rakhine dan Arakan serta lain-lain etnik.

Ribuan pendatang asing dipercayai daripada Bangladesh dan Myanmar itu tersadai di dalam bot penyeludup antara Laut Andaman dan Selat Melaka.

Daripada jumlah itu, 1,158 mendarat di Langkawi, Kedah pada 10 Mei lalu yang kemudian ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah.

Ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Beliau berkata kerajaan sedang bekerjasama dengan UNHCR untuk mengenal pasti mereka yang ditakrif sebagai pelarian.

ADUN Ayer Hangat, Langkawi, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid menyarankan kepada kerajaan supaya mengkaji penempatan pos kawalan keselamatan agensi penguat kuasa di Pulau Langkawi.

Ini perlu, katanya, memandangkan jarak antara Ayer Hangat dan Thailand hanya 10 minit perjalanan dengan bot sementara pos kawalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terletak di Kuah, kira-kira 40 minit perjalanan dengan bot dari Ayer Hangat.

Menurutnya, penyeludup dari Thailand hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai ke Ayer Hangat sementara bot pemantau dari Kuah memerlukan 40 minit untuk sampai ke sana," katanya.

Pelbagai pihak berpendapat bahawa pemimpin negara Asean perlu mengambil langkah segera memaksa negara Myanmar dan Bangladesh mengambil kembali rakyat mereka dan bertindak segera menyelesaikan masalah pelarian dari kedua-dua negara itu.

Mereka kesal, kedua-dua negara itu masih membisu dan tidak mengambil langkah untuk mengatasi masalah pelarian dari negara mereka.

Tiada ulasan: