HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Januari 2016

Jangan cipta persepsi 'tidak enak' antara PKR-PAS - Shuhaimi Shafie

 Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei tidak mahu persepsi 'tidak enak' diberikan terhadap kerjasama PKR dan PAS pada masa akan datang, lebih-lebih lagi apabila Pakatan Harapan bakal mengikat persefahaman menerusi konvensyen pertamanya, Sabtu ini.
 
Persefahaman yang akan ditandatangani itu merangkumi tujuh fasal yang menggariskan kerjasama di antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN), terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
 
Koncensyen yang bakal diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) itu juga akan mencari kaedah  penyelesaian masalah dalam Pakatan Harapan agar tidak mengulangi sejarah yang berlaku dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.
 
"Beri laluan Pakatan Harapan adakan konvensyen terlebih dahulu dan mengemukakan cadangan-cadangan dan pastinya keputusan yang dicapai dalam konvensyen itu adalah demi kebaikan negara. 
 
"Jika PAS tak setuju mereka boleh komen. Jika masih tidak bersetuju juga, kita boleh bincang dan kaji apakah perkara yang dibantah untuk diperbaiki. 
 
"Walaupun masa kini tidak nampak persetujuan PAS kepada polisi PH, itu tidak mengapa. Yang penting mereka ada semangat untuk melawan Umno-BN," ujarnya ketika ditemui pemberita hari ini. 
 
Shuhaimi yang juga ADUN Seri Muda berkata demikian mengulas kepada jangkaan beberapa pihak bahawa persefahaman PKR dengan parti-parti komponen di dalam Pakatan Harapan tidak akan memberi kesan yang baik terhadap kerjasamanya dengan PAS.
 
Ia berikutan perbalahan di antara PAS dan DAP sebelum ini, dan juga PAN yang merupakan serpihan daripada PAS.
 
"Proses penggabungan adalah proses sangat panjang. Mungkin boleh bersetuju dengan satu perkara dan dalam masa sama tidak boleh bersetuju dengan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh parti komponen," ujarnya.
 
Sebelum ini beberapa penganalisis politik berpendapat dokumen berkenaan mirip dengan kerangka kerjasama Pakatan Rakyat yang berakhir pada Julai lepas akibat perang berpanjangan antara PAS-DAP berhubung pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan.
 
Kali ini PAN mendakwa ia bersetuju mengenepikan agenda sebegitu namun keputusan itu sendiri dijangka memberi kesan kepada kemampuan parti berkenaan untuk meraih und di kubu-kubu PAS yang menjadi sasarannya. 
 
 
 

Tiada ulasan: