KUALA LUMPUR,  Parti Amanah Negara (Amanah) menyangkal laporan sebuah akhbar harian berbahasa Melayu, kononnya Amanah Selangor tidak berpuas hati dengan pembahagian lapan kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) oleh kerajaan negeri.


Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim langsung tidak menyebut ketidakpuasan hati terhadap keputusan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu.

Beliau berkata, pihaknya yang kesal dengan tajuk dan laporan tidak benar itu, mahu akhbar terbabit memberi penjelasan.

“Amanah akan menulis surat kepada akhbar berkenaan untuk meminta penjelasan, kerana apa yang dikatakan itu tidak benar sama sekali.

“Dalam kenyataannya semalam, Izham menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan negeri, kerana memberi ruang kepada Amanah untuk berperanan dalam PBT.

“Jadi, apa yang dilaporkan itu berlainan dan mungkin ia telah di’spin’ oleh akhbar berkenaan dan kita akan minta penjelasan daripada mereka,” katanya kepada The Rakyat Post hari ini.

Tambah Khalid lagi, jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada Amanah itu dilihat memadai, mengikut jumlah kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pecahan ahli majlis PBT yang ada di Selangor.

“Amanah kini mempunyai dua daripada 43 Adun dalam Kerajaan Negeri Selangor, manakala jumlah ahli PBT pula ialah 288 orang.

“Kalau mengikut kiraan tepat, Amanah sepatutnya mendapat 13 ahli PBT, namun lapan atau 10 lantikan yang diberikan itu sudah memadai buat masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan PAS Selangor yang tidak mengiktiraf pelantikan berkenaan, Ahli Parlimen Shah Alam itu menjelaskan, Amanah tidak perlu mendapat pengiktirafan PAS, kerana keputusan tersebut dibuat oleh Menteri Besar.

Jelasnya, apabila Menteri Besar, PKR dan DAP bersetuju memberikan kuota kepada Amanah, maka ia dengan sendirinya membuktikan parti itu telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri Selangor.

“Soal PAS tak iktiraf itu tidak penting, kerana ia hanya akan menimbulkan masalah, sedangkan rakyat mahukan PKR, DAP, PAS dan Amanah melaksanakan tanggungjawab kepada mereka dengan baik dan bukannya bergaduh,” tegasnya.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan, Izham masih berharap untuk meneruskan rundingan dengan pimpinan Pakatan Harapan di Selangor, untuk mendapatkan lebih banyak kerusi.

Izham dilaporkan sebagai berkata, beliau tetap dengan keputusan meletakkan 24 hingga 34 ahlinya di 12 kerusi ahli majlis PBT.