HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Januari 2016

PAS sedia kerjasama dengan semua pihak demi Islam

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada Sabtu lalu memutuskan pendirian bahawa parti itu terbuka menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Umno, demi kepentingan Islam.
 
Majlis Syura berkenaan juga menetapkan bahawa PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN) meskipun Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bulan lalu menghulurkan salam silaturrahim pada PAS.
 
"Majlis Syura Ulama menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional.
 
"Kami juga telah bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak untuk kebaikan dan ketakwaan demi  memperkukuhkan Islam dan perjuangannya," kata Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh.
 
Ujar Nik Zawawi lagi, kerjasama dalam bentuk itu diperlukan berdasarkan firman Allah SWT, supaya membantu antara satu sama lain dalam hal-hal yang membabitkan kebaikan dan ketakwaan.
 
Untuk rekod, pada Persidangan Agung Umno (PAU) 2015, Disember lalu, Najib menghulurkan salam silaturrahim kepada PAS untuk saling bekerjasama dalam perkara membabitkan kepentingan kaum Melayu dan agama Islam.
 
Sehubungan itu Isnin lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan presiden parti, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang akan memberikan taklimat khas kepada pemimpin-pemimpin PAS berhubung pelbagai perkara termasuk isu kerjasama dengan Umno. 


Tiada ulasan: