KUALA LUMPUR: MIC memutuskan untuk tidak mengaitkan isu agama terhadap
keputusan Mahkamah Rayuan bersabit kes penukaran agama tiga kanak-kanak
oleh bapa mereka, baru baru ini.
Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam berkata parti itu sudahpun
berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berbincang
mengenai cara terbaik untuk menangani pertikaian tersebut.
"MIC lihat hak seorang ibu dan perhubungan seorang ibu dan anak mereka
dan tidak mengaitkan dengan isu agama dan daripada segi prinsip bahawa
seorang ibu punya hak beri perlindungan kepada anak-anak kecil ini dari
segi kemanusiaan.
"Kita berpendapat hak itu harus diberi kepada ibu, MIC akan
memeprjuangkan perkara itu daripada sudut itu dan saya sudah nula
berbincangan dengan Perdana Menteri dan kita akan teruskan perbincangan.
"Ia bukan satu proses yang senang, tapi beliau (Datuk Seri Najib Razak)
telah menyatakan kesediaannya bahawa perkara ini tidak perlu
dipanjangkan dan beliau ada cadangkan beberapa langkah yang saya tidak
boleh dedahkan, jadi kami akan pantau perkembangan ini," katanya dalam
sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa
Kerja MIC di ibu negara, pada Selasa.
Kes penukaran agama yang dibuat Muhammad Riduan Abdullah terhadap tiga
anaknya mendapat liputan meluas media sementelah ibu kandung mereka, M.
Indira Ghandi membantah tindakan tersebut.
Muhammad Riduan bertindak menukar agama tiga anaknya selepas memeluk agama Islam sebaik sahaja dia bercerai dengan isterinya.
Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini memutuskan penukaran agama tiga kanak-kanak tersebut sebagai batal dan tidak sah.
Namun 30 November lalu, Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan itu dan
memutuskan Mahkamah Sivil tidak punya kuasa membicarakan kes tukar
agama, sebaliknya perlu dirujuk ke Mahkamah Syariah.
Mengulas lanjut, Subramaniam berkata MIC juga akan mengadakan
perbincangan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Datuk Seri Rohani Abdul Karim berhubung perkara itu.
"Wanita MIC akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pembangunan
Wanita Keluarga dan Masyarakat (Datuk Seri Rohani Abdul Karim) supaya
mendapat sokongan mereka di dalam perjuangan seorang ibu dan hak
mereka.
"Kita berpendapat ini tidak menjadi satu isu agama dan dilihat dari
sudut hak seorang ibu dan sistem perundangan yang ada di negara kita
boleh memberi perlindungan kepada ibu dalam perkara ini," katanya.
MIC sebelum ini melahirkan rasa kecewa berhubung keputusan Mahkamah
Rayuan membabitkan pertikaian hak penjagaan anak-anak Indira Gandhi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan