KOTA BHARU,  Pertubuhan Peniaga Vape Melayu (PPVM) Kelantan bakal menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kelantan sebelum Februari depan, dengan kehadiran dianggarkan 100,000 peniaga dan pengguna vape dari seluruh negeri.


Jurucakap Solidariti Vape Kelantan, Mohd Khalib Khan Nasir Khan berkata, penyerahan memorandum secara aman itu  adalah bagi menyatakan bantahan peniaga dan pengguna vape terhadap keputusan kerajaan negeri yang mengharamkan vape.

Beliau menyatakan sepucuk surat sudah diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abd Fattah Mahmood berkaitan penarikan balik status haram pada 29 Disember 2015.

Katanya, surat berkenaan memohon penarikan balik status haram kepada peniaga vape di Kelantan sehingga penggubalan undang-undang di peringkat pusat dan kajian perubatan dikeluarkan mengenai penggunaan Vape.

Bagaimanapun, katanya pada 31 Disember lalu, kerajaan negeri menolak permohonan surat rayuan peniaga dan mengekalkan pengharaman perniagaan vape, selain hanya memberi tempoh sebulan untuk mengosongkan kedai.

“Sehubungan itu, kami kini dalam proses mengumpul maklumat dan membalas kenyataan Abd Fattah dengan membuat injuksi mahkamah bagi menangguh keputusan pengharaman kerajaan negeri sehingga Kerajaan Pusat menggubal akta vape di di peringkat pusat,” katanya pada sidang media ringkas di Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khaleb berkata, pihaknya juga membuat satu proses undian selama 24 jam melalui talian di laman sosial dan daripada 10,000 undian hampir 60 peratus bersetuju agar vape tidak diharamkan.

Katanya, hanya 2.5 peratus bersetuju vape diharamkan manakala hampir 30 peratus bersetuju kerajaan mengharamkan juga rokok sekiranya mahu mengharamkan vape.

“Bagi golongan peniaga keputusan kerajaan negeri yang memberi tempoh singkat amat menyukarkan peniaga untuk `mencairkan aset’ kerana barangan jualan tidak boleh dijual dibawah harga modal.

“Jika dilihat sekarang kami peniaga tidak pernah membenarkan mana-mana remaja bawah 18 tahun memasuki premis sebagai cara mengekang penjualan secara berleluasa,” katanya.