Meskipun berdepan keadaan yang dijangka sukar dan ketika Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengawal perbelanjaannya, rakyat Malaysia boleh menikmati perkhidmatan Internet yang lebih baik.
"Walaupun dijangka berdepan masa yang sukar, kita tidak akan berganjak daripada menyediakan perkhidmatan Internet yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Ini adalah azam Tahun Baharu yang saya harap dapat ditunaikan," katanya dalam blognya sskeruak.blogspot.my.
Salleh berkata tahun 2016 bakal menjadi tahun kritikal yang penuh dengan cabaran, bukan sahaja bagi Malaysia malah di seluruh dunia. "Memang mudah untuk menyalahkan kerajaan bagi masalah kita dan menuduh kerajaan salah urus ekonomi. Tetapi ada masanya, kita menjadi mangsa keadaan yang di luar kawalan kita," katanya.
"Sementara kita boleh mengawal apa yang berlaku di Malaysia, kita tidak berupaya mengawal apa yang berlaku di seluruh dunia yang akhirnya memberi kesan kepada negara kita juga," kata Salleh.
Justeru itu, katanya, kementerian perlu membuat penyelarasan perbelanjaan bagi menampung apa yang perlu.
"Kita perlu menyemak semula rancangan kita untuk mengenal pasti apakah lebihan yang perlu dipotong daripada perbelanjaan supaya kita boleh menempuh tahun ini tanpa terjejas," kata Salleh.
Beliau memberi contoh mengenai kejatuhan harga minyak, peperangan di Tengah timur, "amaran perang" di Eropah, ketegangan di Laut China Selatan dan banyak lagi isu yang perlu dihadapi dunia pada 2016.
Menurutnya negara seperti Arab Saudi, yang belum pernah dilanda kemelesetan, turut menarik balik subsidi, menaikkan harga minyak sebanyak 50% dan dijangka menjadi peminjam dalam tempoh 5 tahun lagi jika situasi sekarang berlarutan.
"Jika Arab Saudi dilanda masalah, negara-negara seperti Malaysia pasti terasa tempiasnya terutama dengan kejatuhan ringgit yang begitu rendah," katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan