1Malaysia Development Berhad menegaskan Bandar Malaysia Sdn Bhd "ialah projek Malaysia" walaupun 24% kepentingannya dimiliki oleh China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).
Beliau berkata sebanyak 54% Bandar Malaysia dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sementara sektor swasta termasuk kepentingan Malaysia, memegang baki selebihnya.
"Justeru itu, penjualan kepentingan Bandar Malaysia kepada IWH-CREC Consortium bukanlah penjualan kepada syarikat China," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Konsortium itu, yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd, merupakan usaha sama 60:40 antara syarikat Malaysia dan syarikat China itu.
IWH merupakan perkongsian awam-swasta antara Credence Resource Sdn Bhd dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd milik kerajaan Johor manakala CREC merupakan satu daripada firma kejuruteraan dan pembinaan yang terbesar di dunia.
Arul Kanda berkata konsortium itu menyatakan komitmennya untuk menghormati pelan pembangunan asal Bandar Malaysia meliputi 486 ekar (196.68 hektar) termasuk menyediakan rumah mampu milik di kawasan tersebut dan membangunkan semula lapangan terbang Sungai Besi.
"Dan daripada semua sudut, kami percaya ia adalah satu perkongsian yang memanfaatkan kedua-dua pihak," katanya.
Menurutnya perjanjian itu menandakan pencapaian terakhir dalam pelan rasionalisasi 1MDB.
Pada Jun lepas, 1MDB mengemukakan pelan rasionalisasi hutang 3 bahagian kepada Kabinet termasuk menjual ekuiti dalam syarikat tenaga Edra Global Energy Bhd yang akan mengurangkan hutang 1MDB sebanyak antara RM16 dan RM18 bilion.
Bahagian ke-2 ialah pertukaran ekuiti hutang dengan dana Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), yang akan mengurangkan hutang 1MDB kira-kira RM16 bilion.
Bahagian ke-3 ialah penjualan saham-saham dalam Bandar Malaysia yang nilai tanahnya ialah RM12.35 bilion. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan