HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Februari 2016

Azrolnizam sahut cabaran Zahid buat kerja kotor

Anne Muhammad

 


Selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 'mencabar' belia Malaysia membuat 'kerja kotor' jika tidak mahu pekerja asing datang ke negara ini, kini mereka pula mencabar timbalan perdana menteri itu untuk mengusahakan kenaikan gaji pekerja sektor berkenaan.

Menurut mereka, Ahmad Zahid sepatutnya menyedari gaji asas pekerja sektor 3 D (dirty, difficult dan dangerous) tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

Azrolnizam Sidek yang bekerja sebagai tukang cuci longkang berkata gaji sebanyak RM800 sebulan tidak cukup untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.

"Saya cabar beliau untuk ubah keadaan ini. Naikkan gaji minumum daripada RM800 kepada kadar munasabah. Saya sendiri sudah menyahut cabaran timbalan perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Azrolnizam, 24, bukan sembarangan orang. Jika anda menyangka dia anak muda yang tiada kelulusan sehingga terpaksa menjadi pencuci longkang, ia adalah silap.

Memiliki diploma pengurusan perniagaan, dia pernah bekerja sebagai pereka grafik dan menjadi sebahagian daripada jutaan warga Kuala Lumpur sejak 2014.

Namun pada November lalu dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaga bapanya yang uzur.
Azrolnizam juga mahir dalam bidang fotografi dan pernah menjadi jurugambar sambilan tetapi ia tidak menjamin pendapatan yang stabil kerana permintaan untuk perkhidmatannya bermusim.

Antara Disember hingga Januari dia mencuba nasib menjadi penoreh getah. Dengan harga RM1.55 sekilogram, dia mengalah.

"Nak makan apa dengan pendapatan begitu?" katanya.

Azrolnizam kini menjadi pencuci longkang sebuah kilang simen di Negeri Sembilan.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan rancangan membawa masuk pekerja dari Bangladesh - dilaporkan berjumlah kira-kira 1.5 juta orang - untuk memenuhi permintaan sektor 'kerja kotor'.

Ahmad Zahid berkata kemasukan tenaga buruh asing itu perlu kerana rakyat tempatan enggan bekerja di sektor berkenaan.

Bagaimanapun pada 19 Februari lalu timbalan perdana menteri mengumumkan kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja.

Azrolnizam berkata dia bersama pekerja lain mencuci longkang sejauh lapan kilometer setiap hari demi mencari rezeki.

"Belia negara ini juga bukan pemalas seperti disangka sesetengah orang," katanya merujuk kepada kenyataan dikeluarkan anak Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah sebelum ini.

Kata Azrolnizam dia memiliki diploma tetapi menyahut cabaran Ahmad Zahid untuk membuktikan bahawa isu yang dihadapi sekarang bukan berpunca daripada sikap malas.

"Salah seorang pekerja yang bersama-sama saya mencuci longkang sekarang adalah remaja lelaki yang baru menghabiskan peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)," katanya.

Buat masa ini Azrolnizam adalah pencuci longkang 'profesional' dan sesekali menjadi jurugambar apabila ada permintaan.

"Kalau tak percaya, pergilah lihat Instagram saya, @azrolnzam," katanya.


Tiada ulasan: