SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa seharusnya
membantu kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian terhadap usul
pindaan Akta 355, apatah lagi beliau sebelum ini pernah memegang jawatan
sebagai exco kerajaan negeri.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri itu, Datuk
Abdul Fattah Mahmood berkata demikian sebagai teguran terhadap Husam
yang mula 'menyerang' Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar
Nik Abdullah dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang
didakwa gagal melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
"Sepatutnya beliau tampil dengan cadangan, bukannya menyerang.
"Sebagai ahli PAS dan bekas Naib Presiden PAS beliau patut beri
sokongan padu kepada pihak kerajaan dalam membawa isu ini. Bukannya
menyalahkan mana-mana pihak.
"Kita menghormati beliau sebagai bekas pimpinan dan mengharapkan beliau
memberi cadangan dan pandangan, bukannya menuding jari orang ini salah
dan silap," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Terdahulu Husam mahu Mohd Amar dan Takiyuddin bertanggungjawab selepas
hukum hudud sehingga kini masih gagal membawa usul pindaan Akta 355
berkaitan hukuman hudud di Parlimen.
Husam juga mencabar kedua-dua pemimpin berkenaan melepaskan jawatan
masing-masing sekiranya gagal memberi penjelasan mengapa sehingga kini
Kelantan tidak berjaya membentangkan pindaan itu.
ADUN Salor itu berkata demikian semasa menjadi salah seorang panel
dalam Forum Akta 355 dan Hudud di Malaysia di Kelantan, dua hari lalu.
Untuk rekod, Mohd Amar merupakan Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun
Jenayah Syariah II Kelantan, manakala Takiyuddin pula sebagai Ketua
Sekretariat Tetap Hudud Negeri.
Abdul Fattah, ketika diminta menjelaskan lebih lanjut memberitahu
kerajaan negeri tidak pernah berhenti mengadakan rundingan bersama
kerajaan pusat agar usul pindaan akta berkenaan dapat dibentangkan dalam
sidang Dewan Rakyat yang akan datang.
"Tidak wajar (Husam kritik) sebab usaha di peringkat parti dan kerajaan
negeri telah dilakukan sebaik mungkin. Rakyat juga tahu gerak kerja
yang kita lakukan.
"Kita sedang dan masih berusaha untuk berbincang dengan pihak kerajaan
persekutuan sebab ia melibatkan hal kerajaan dengan kerajaan, bukan hal
parti dengan parti.
"Kita berusaha untuk membolehkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang dapat membentangkan Akta 355 di parlimen pada sidang akan datang,"
tegasnya.
Husam ketika menjadi panel forum tersebut juga mendakwa matlamat
melaksanakan hudud di Kelantan hanyalah mainan politik PAS dan Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan