HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Februari 2016

'Kalau saya pegang jin pun, apa salahnya?'

Al-Abror Mohd Yusuf

 


"Kalau saya pegang jin pun, apa salahnya? Dia (jin) pun makhluk Allah juga," kata Zamihan Mat Zin menjawab tuduhan sesetengah pihak yang mengaitkannya dengan makhluk ghaib itu.

Kata Zamihan yang kini ditugaskan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dia tidak pernah bercakap mengenai jin atau menguasai makhluk berkenaan.

Mengakui turut menjalankan perkhidmatan rawatan perubatan Islam, Zamihan berkata, pada ketika tertentu dia diminta bantuan bagi menghadapi masalah seperti kerasukan atau histeria.

"Apabila ada orang kena rasuk, kena histeria, orang panggil kita, kita pergi dan masalah selesai. Biasalah, itu anugerah Allah, bakat masing-masing," katanya kepada media di Bangi.

Zamihan yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah (Aswaja) diminta mengulas tuduhan terhadapnya yang berkaitan jin.

Dakwaan itu dibuat secara tidak langsung melalui klip video ceramahnya sebelum ini.

Kata Zamihan dia tidak pernah menyebut berkawan dengan jin.

"Saya tak pernah sebut pun. Dia (pihak yang menyerangnya) guna bahan ceramah lain dan buat kenyataan lain. Sepatutnya keluarkan kenyataan asal (penuh), jangan guna video yang disunting," katanya.

Zamihan adalah pegawai agama di Kementerian Dalam Negeri yang ditukarkan sehari sebelum program debat yang diusahakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dijadual berlangsung.

Sengaja diada-adakan

Dia dikatakan akan berdebat - atau berdialog - dengan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung isu ekstremisme di Malaysia.

Majlis itu disusun untuk diadakan pada 17 Februari lalu, manakala arahan pertukaran tugas dikeluarkan pada 16 Februari.

Ia adalah pengalaman pertukaran serta-merta Zamihan yang ketiga setakat ini.

Menurut beliau, dia tidak ada menyebut berkawan dengan jin atau menangkap jin.

"Mana kita tahu jin itu beribu-ribu? Benda ni makhluk ghaib. Kalau saya pegang 4,000 jin pun apa salahnya?" kata Zamihan.

Namun Zamihan yakin cerita itu sengaja diada-adakan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan cara beliau serta mahu memburuk-burukkan imejnya.

Menjelaskan kerenah pihak yang ingin menjatuhkannya itu, Zamihan berkata, ia bukan sesuatu yang baru.


Tiada ulasan: