SHAH ALAM – Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan Kedah kembali ke tangan Pas setelah melihat krisis yang sedang melanda Umno di negeri itu.
Namun, menurut Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir, Pas tidak akan dapat memenangi Kedah dengan bersendirian.
“Mungkin kembali seperti dulu, kepada Pas. Tapi Pas sendirian tidak boleh...harus bekerjasama dengan PKR dan juga DAP. Pas tidak boleh menang atas tiket sendiri sahaja,” katanya kepada Sinar Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal parti-parti pembangkang yang mungkin dapat menewaskan BN di Kedah ketika suasana politik Umno-BN di negeri itu sedang meruncing.
Baru-baru ini, 14 daripada 15 Ketua Umno Bahagian Kedah yang diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merayu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membuat perubahan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri dan jawatan Menteri Besar Kedah dan mendakwa telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.
[ARTIKEL BERKAITAN: Nasib Mukhriz ditentukan Adun, Jemaah Pemangku Sultan]
Menurut Dr Jeniri, Umno-BN hari ini berdepan kehilangan sokongan sekiranya gagal menyelesaikan krisis yang berlaku di Kedah itu.
“Kita lihat kemenangan BN di Kedah itu bukan kemenangan besar. Jadi, boleh dikatakan apa-apa sahaja faktor...apatah lagi jika krisis ini tidak dapat ditangani dan orang yang menggantikan beliau itu tidak berupaya untuk merapatkan barisan.
“Kemudiannya (pengganti), tidak mampu meyakinkan rakyat baik dengan kenyataan-kenyataan mahupun dengan dasar-dasarnya, maka ini akan pasti menyebabkan golongan dulu yang beralih angin disebabkan oleh Mukhriz, hari ini akan kembali (semula) kepada pembangkang (Pas),” katanya yang menyifatkan Umno Kedah kini berada di gaung yang boleh tumbang pada bila-bila masa sahaja.
Beliau juga mendakwa tindakan 14 Ketua Umno Bahagian Kedah yang menolak Mukhriz itu sebagai menggali kubur sendiri yang kononnya cuba untuk mencari penyelesaian terhadap masalah mereka dengan pendekatan yang diambil itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan