HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Februari 2016

Mesyuarat tertutup ADUN BN masih jadi tanda tanya

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
ALOR SETAR: Perjumpaan tertutup ADUN Barisan Nasional (BN) sejak tengah hari tadi masih menjadi tanda tanya, dengan tidak ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.
 
Bagaimanapun ADUN Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain berharap kemelut itu diselesaikan secepat mungkin. 
 
"Saya bersetuju isu ini tak patut berlanjutan. Patut diselesaikan secepat mungkin, harap dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya ringkas kepada pemberita sebelum terus menaiki lif untuk menghadiri perjumpaan tertutup berkenaan. 
 
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sokongan sebulat suara yang dinyatakan ADUN pembangkang terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
 
"Saya tak nak komen apa lah, pendirian mereka, pendirian mereka lah," ulasnya ringkas.
 
Dalam pada itu Tajul yang merupakan Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan berkata, beliau dimaklumkan mesyuarat exco esok berkemungkinan ditangguhkan ke satu masa yang lain.
 
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan.
 
Perjumpaan tertutup di antara ADUN BN sejak tengah hari tadi itu dijangka berakhir lewat malam ini.
 
Beberapa media memetik sumber sebagai mendakwa, terdapat dua ADUN BN melakukan pusingan U dan menyatakan sokongan kepada Mukhriz walaupun telah menandatangani akuan bersumpah (SD) beberapa hari sebelum itu.
 
Manakala petang tadi, kesemua 15 ADUN pembangkang sebulat suara menyatakan pendirian mereka yang menyokong kepimpinan Mukhriz, selepas mengadap jemaah untuk menzahirkan sokongan mereka.
 
Semalam, kesemua 21 ADUN BN mengadap Jemaah Diraja Kedah berhubung kemelut berkenaan.
 
Kemelut itu tercetus sejak hampir dua minggu lalu selepas 14 daripada 15 ketua bahagian sepakat mengumumkan mereka hilang keyakinan terhadap Mukhriz. 


Tiada ulasan: