Agamawan sepatutnya berdiri menegakkan keadilan dan menentang penyelewengan serta berjuang isu-isu rakyat dan negara.
PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin terus membidas golongan agama di negara ini yang lebih berminat menegakkan isu kecil berbanding mencegah kemungkaran yang lebih besar.
Katanya, agamawan sepatutnya memperjuangkan soal masa depan rakyat serta berdiri menegakkan penyelewengan.
“Kerja golongan agama bukan sekadar sibuk pasal wanita tidak bertudung ataupun orang tidak tahlil ataupun sekadar kisah pembaziran air mandi hadas dan wuduk semata-mata.
“Mereka (golongan agama) hendaklah berdiri menegakkan keadilan dan menentang penyelewengan, bukan sekadar berani isu tabung masjid sahaja tapi berani membela harta rakyat dan negara secara keseluruhannya.
“Bukan sekadar tajuk tandas masjid, vape dan rokok sahaja tapi isu pencemaran alam secara menyeluruh. Itulah agama yang syumul. Itulah tugasan yang telah dilakukan oleh imam Ahlus Sunnah wal Jamaah sepanjang sejarah kegemilangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asri, antara 16 penceramah bebas yang dilarang masuk ke Johor oleh Majlis Agama Islam Johor kerana dibimbangi ceramah-ceramah yang disampaikannya boleh mengelirukan dan memesong akidah umat Islam.
Johor merupakan negeri kedua melarang Asri memberi ceramah agama selepas Selangor yang mengharamkan beliau kerana dipercayai membawa fahaman Wahabi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan