HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Februari 2016

Orang dibela terkena tempias: Ibrahim Ali marah Ali Rustam

MALAYSIAKINI




Presiden kumpulan pendesak Melayu, PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berang dengan cubaan sahabat baiknya, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang disifatkannya sebagai ‘lebih sudu dari kuah’ kerana membidas Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin.

Menurutnya, kenyataan bekas ketua menteri Melaka itu dilihat boleh mencemar integriti suruhanjaya itu sebagai sebuah badan bebas.

"Urusan SPRM yang selama ini dianggap bebas dan berintegriti telah menjadi cemar.

"Biarlah SPRM tangani sendiri tanpa perlu campur tangan pihak luar. Kita tahu apa?

“Sebagai orang politik, masyarakat hanya melihat ada individu yang cuba mengambil kesempatan untuk menjadi juara kepada pihak tertentu," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Mohd Ali mahu tindakan disiplin diambil ke atas mana-mana pegawai SPRM yang dilihat cuba menjatuhkan imej pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bari sebelum ini dilaporkan mahu merayu keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang membebaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak darripada sebarang salah laku berhubung siasatan kes derma RM2.6 bilion dan SRC International.

Beliau kemudiannya diserang oleh bloger pro-Umno termasuk gertakan terhadap keluarganya dan terpaksa membuat laporan polis.

"Kalau ya ingin mencari kesempatan, carilah isu-isu lain seperti membela rakyat termiskin atau berbagai masalah yang dihadapi oleh kaum Melayu bumiputra atau rakyat amnya.

"SPRM memerlukan sokongan semua pihak jika benar-benar ingin melihat SPRM berkesan dalam peranannya memerangi rasuah dan Penyalahgunaan kuasa," kata Ibrahim lagi.

Selain itu, Ibrahim juga berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Ali dilihat boleh menyebabkan rakyat makin membenci Umno terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata setiap kenyataan atau isu yang mahu diulas itu perlu dilakukan secara berhati-hati kerana akan memberi kesan kepada mereka yang ingin dibela itu tanpa menyebut sebarang nama.

“Setiap patah atau isu yang hendak disentuh kena berhati hati kerana akhirnya orang yang hendak dibela juga terkena tempiasnya.

“Inilah yang dikatakan sokongan membawa rebah,” katanya sambil menyeru masyarakat memberi sokongan kepada SPRM agar ia menjadi agensi yang berwibawa.


Tiada ulasan: