HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Februari 2016

Potong tiga peratus KWSP untuk tambah kutipan GST?

eddie ng

Oleh Syazana Hasanudin

 
KUALA LUMPUR: Pemotongan tiga peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuat dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 hanya menguntungkan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong, Eddie Ng Tien Chee, berkata langkah itu tidak membantu pencarum KWSP, malah ia hanya satu lagi angkara apabila sejumlah wang yang tidak sepatutnya dibelanja, dilambak ke pasaran urusan harian.

Beliau menyifatkan memiliki lebih simpanan dalam KWSP untuk masa depan lebih baik daripada menambah pendapatan boleh guna dalam jangka pendek yang akhirnya menyebabkan mereka mengeluarkan lebih wang untuk membayar GST.

“Bayangkan, jika ada RM8 bilion sebagai aliran tunai tambahan dalam pasaran, berapakah peningkatan dalam kutipan hasil melalui GST?

“Justeru, saya menyeru semua ahli KWSP mengekalkan caruman 11 peratus supaya tidak menjejaskan hasil dividen yang bakal diterima,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu mengurangkan caruman tiga peratus KWSP semata-mata bagi merangsang ekonomi dengan meningkatkan kuasa belanja di pasaran.

Malah, Eddie pada kenyataan media baru-baru ini, berkata potongan caruman tiga peratus KWSP ditampung kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan kesan negatif terhadap simpanan persaraan pekerja.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memberi seluruh pencarum KWSP kuasa membelanja tambahan tiga peratus daripada gaji pokok di samping menikmati caruman sedia ada.

“Jika dibuat pengiraan, tiga peratus daripada gaji RM3,000 hanyalah RM90 saja, maka ia tidak dapat membantu dalam mengurangkan beban ekonomi dihadapi negara kini.

“Pengurangan caruman KWSP sebanyak RM90 setiap bulan hanya menyebabkan kerugian dan caruman yang sepatutnya digunakan sewaktu zaman bersara tidak dapat menampung sara hidup akan datang,” katanya. -Roketkini.com


Tiada ulasan: